GEORGETOWN: Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengumumkan keputusan berhubung hukum senaman yoga kepada pengamal senaman itu yang beragama Islam dalam tempoh terdekat.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha, berkata keputusan itu akan diumumkan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin. Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.
Yoga amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar sejak 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung. Amalan senaman harian itu kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera.
Sementara itu, Osman berkata, seminar dua hari yang bermula hari ini anjuran Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dan Jakim, mengetengahkan konsep kelestarian pemikiran Islam yang berupaya merentasi cabaran bersifat kontemporari di masa akan datang.
“Penganjuran seminar ini juga mempunyai makna yang besar khususnya dalam usaha memperkasakan kredibiliti dan pencapaian umat Islam dalam mendepani cabaran dunia tanpa sempadan serta menangani isu fiqh kontemporari,” katanya. - Bernama
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Mutakhir/20081029142817/Article/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan