KUALA LUMPUR: “Tunggu 7 November ini (Jumaat depan), ia akan diumumkan Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin (Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan) dan semuanya akan terjawab.”
Itu reaksi Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz, ketika ditanya mengenai keputusan amalan yoga yang didakwa boleh memesongkan akidah umat Islam jika senaman itu terus diamalkan.
Menurutnya, keputusan mengenainya diputuskan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan di Kota Bharu, Kelantan, 23 Oktober lalu.
Katanya, jawatan kuasa kajian mengambil masa enam bulan untuk mengkaji dan menilai, seterusnya diperhalusi panel dilantik sebelum membuat keputusan.
“Perkara ini dikaji dengan mendalam, malah diperhalusi oleh panel kajian akidah. Sepanjang kajian juga kita dapatkan pandangan ramai. Menjadi tanggungjawab Jakim untuk mengkaji perkara yang menyentuh akidah umat Islam.
“Sebenarnya amalan yoga diamalkan orang bukan Islam, tetapi hari ini orang kita mudah terpengaruh dan tertarik, terutama apabila ada campuran dengan unsur luar,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Seminar Pemurnian Akidah di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.
Hadir sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh. Seminar sehari anjuran bersama pejabat Mufti dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu dihadiri 3,000 tetamu daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta universiti awam dan swasta.
Sebelum ini, laporan akhbar pada 29 Oktober lalu memetik Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, sebagai berkata umat Islam yang mengamalkan yoga supaya menghentikannya.
Zakaria berkata, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa serta mereka yang mengamalkannya percaya ia boleh menyatukan diri dengan Tuhan.
Sehari kemudian, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha, berkata Majlis Fatwa Kebangsaan sudah membuat keputusan mengenai senaman yoga.
Mengenai isu ‘pengkid’ atau wanita menampilkan diri menyamai lelaki yang turut difatwakan haram 23 Oktober lalu, Wan Mohammad berkata, fatwa itu dikeluarkan bagi menyelamatkan umat Islam kerana ia jelas perlakuan salah.
“Meskipun pengkid bukan isu baru, gejala ini sangat membimbangkan kerana ia boleh ditafsirkan sebagai jenayah yang boleh meruntuhkan institusi sosial dan keluarga serta jenayah syariah,” katanya.
Mengenai pelaksanaan penguatkuasaan selepas sesuatu fatwa itu diumumkan haram, Wan Mohammad berkata, undang-undang sedia ada mencukupi dan ia perlu dikuatkuasakan.
“Kita tidak miskin daripada segi undang-undang seperti jenayah syariah, malah pihak berkuasa tempatan juga ada peraturan mereka, namun ia mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081102092309/Article/index_html