08 Januari 2008

Senaman Tua petua asas

SENAMAN Tua diasaskan Azlan Ghanie, yang berasal dari Pahang, bertujuan memperkuatkan fizikal dan mental berdasarkan Silat Lok Sembilan diwarisi daripada ayahnya.
Dilahirkan tidak cukup bulan dan mengalami masalah kesihatan ketika kecil, beliau yang kini berusia 47 tahun berkata, beliau lumpuh separuh badan pada 1990 dan pulih secara beransur-ansur apabila mengamalkan senaman berdasarkan silat itu.

Apabila menerbitkan majalah Seni Beladiri, saya berusaha memperkenalkan Senaman Tua yang berasaskan silat kepada orang ramai.“Senaman ini menekankan aspek pernafasan dan setiap pergerakan adalah berasaskan petua yang mempunyai pelbagai variasi dan mempunyai nama seperti tari piring dan selak dahan,” katanya.

Berbeza dengan silat yang kadang-kadang boleh menyebabkan tubuh sakit, senaman itu menyebabkan tubuh pengamal menjadi lebih segar dan cergas.

Oleh kerana berasaskan silat, katanya, sesetengah pergerakan senaman itu boleh menjadi seni mempertahankan diri yang berguna kepada pengamalnya, terutama wanita dan orang tua yang menjadi sasaran penjenayah.

Katanya, senaman itu melatih kepekaan otak untuk meramal bahaya dan mendorong tubuh memberikan tindak balas sewajarnya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Tengku Fadilah Tengku Kamalden, ketika ditemui selepas sesi latihan Senaman Tua berkata, senaman itu menggerakkan otot yang jarang digunakan seperti belakang tengkuk, hujung jari, belakang bahu dan pinggang.

Katanya, ini berbeza dengan latihan ahli sukan yang hanya memberi perhatian terhadap otot besar tubuh.“Kesan yang saya alami selepas mengamalkan senaman ini ialah pengaliran darah dan penglihatan lebih baik,” katanya.
Setiausaha, Aini Mohd Yusof, pula mendakwa masalah kroniknya, yang tidak boleh lama berdiri dan duduk hingga terpaksa makan ubat penahan sakit ketika mengerjakan haji hilang secara beransur-ansur selepas mengikuti program senaman itu selama tiga bulan.

FAKTA
  • Faedah senaman
  • Meningkatkan kecergasan, keceriaan dan keyakinan diri
  • Menguatkan otot jantung dan paru-paru
  • Memperbaiki sistem penghadaman dan selera makan
  • Meningkatkan daya ketahanan badan
  • Mengekalkan kekuatan otot dan tulang untuk memudahkan pergerakan
  • Mencapai dan mengekalkan berat badan unggul
  • Membantu tidur lebih lena
  • Memperbaiki peredaran darah dan melindungi dari serangan sakit jantung
-Dari Berita Minggu

2 ulasan:

djambu puadovich berkata...

salam,
saudara nadzrin xda ape2 komen ke pasal senaman malaysia yg diuar2kan dlm akhbar hr tu?

Gemala Kasturi berkata...

Salam nadzrin
Apa perkembangan sekarang?