31 Mei 2010

Petua & Ilmu: Antara panduan dan kenangan

Sepanjang pengalaman saya, ramai pengamal dan guru cuba menafsir makna Silat buat kefahaman saya. Antaranya, ada yang menafsir secara kaedah, ada yang menafsir secara falsafah, malah ada yang menafsir secara kerohanian.

Sudah tentu, setiap orang yang melalui ‘jalan’ silat, akan menimba pengalaman dan pengetahuan yang berlainan, menyebabkan mereka memberi tumpuan yang berlainan terhadap silat.

Sebahagiannya bermula dari istilah silat sendiri dengan menurunkannya daripada ilat, elat atau silat, silap, silau atau si kilat atau silah (perkataan Arab bermaksud hubungan). Setiap satu daripada penghuraian ini mempunyai sebab musabab dan bukti-hujahnya yang tersendiri.

Jauh sekali bagi saya menidakkan atau menyalahkan penjelasan guru-guru ini yang berdasarkan pengalaman bertahun dan suluhan rohani yang mendalam. Namun, izinkanlah jika saya turut menurunkan sedikit daripada pengalaman saya mengenai silat.

Pada saya, silat lahirnya daripada petua. Mungkin ramai yang pernah mendengar kata-kata sebegini. Yang sering menjadi masalah apabila cuba menghuraikan, apa itu petua? Satu waktu dahulu, saya turut keliru, tetapi apabila sendiri yang merasa, barulah diketahui betapa sukarnya menyampaikannya dengan tepat.

Terkenang pula kata-kata seorang guru, manisnya gula takkan dirasa selagi belum dikecapi, maka seninya silat juga takkan difaham selagi tidak dialami. Namun, saya akan cuba juga sedaya yang mungkin.

Dalam penulisan ini, istilah ilmu (sebagai ganti kata ‘pengetahuan’) dan petua akan diguna bagi membezakan antara yang banyak dan yang sedikit. Jika ilmu merupakan sesuatu yang terpahat, tersurat dan terluah, maka petua itu pula tersimpan, tersirat dan terdiam.

Maka, bagi mana-mana buku yang dinukil, tajuk yang disyarah dan ilham yang disebut, itulah ilmu, kerana ia lahir mengikut keadaan dan terikat dengan syarat-syarat kelahirannya. Dalam keadaan itulah, beratus-ratus buku ditulis oleh seorang guru. Maka, bukanlah buku yang berilmu melainkan guru itulah sebenar petuanya.

Jadi persoalannya, berpegang pada buku atau guru? Berpaut pada ilmu atau petua?
Dalam persoalan gerak fizikal silat pula, sudah tentu yang banyak itulah terbitan, yang ilmu. Maknanya, yang banyak mestilah terbit daripada yang sedikit, atau terasnya. Keadaan begini, manakah lebih penting, yang teras atau yang terbit?

Memanjangkan dari contoh awal tadi, gerakan-gerakan silat lahir mengikut keadaan tempur yang muncul. Jika diserang dari kanan, begini. Jika dari kiri, begini. Jika berkeris, begini. Jika bertongkat, begini… Sudah tentu, setiap satu contoh yang diterbitkan oleh guru itu berdasarkan satu teras yang dipegang. Itulah petua.

Malangnya, yang sering terjadi di kalangan murid, ilmu digenggam kemas hingga petua dicampak ke tepi jalan. Hendak dibezakan mana yang gantang dan mana yang cupak pun menjadi sukar. Maka, direkod segala terbitan hingga itulah yang menjadi SILAT, padahal asalnya ialah dari petua dan murid hanya berulanglatih buah-buah (anak-anaknya) tanpa memahami petua (ibubapa) yang melahirkannya.

Persoalan kedua, jika ilmu lahir dari petua, maka petua lahir daripada mana? Di sinilah yang jelas menjadi kabur. Jika hendak diterangkan juga, maka mudahlah dikatakan petua itu lahir daripada guru. Guru yang telah berusaha belajar, mengkaji, menyesuai dan akhirnya diberi hidayah oleh Allah SWT untuk berjasa kepada hamba-hamba-Nya dengan menyampaikan ilmu kepada mereka.

Ada ‘petua’ yang tidak dapat dizahirkan, atas sebab ia tidak mampu diberi bentuk yang khusus tanpa meninggalkan bahagian-bahagian kefahaman yang penting, walaupun ia kecil. Namun, ada pula dalam silat yang mampu dibayangkan dan dinamakan. Dalam jenis ini termasuklah petua Lam Alif, Mata Angin (atau Lapan Penjuru Angin Bermata Satu) dan Jantan-Betina.
Dinamakan mudah, diceritakan susah.

Petua tidak seperti ilmu kerana petua sebagai panduan manakala ilmu sebagai kenangan. Apabila berhadapan dengan lawan, maka gerak lawan menghidupkan petua yang dipegang dan reaksi petua terhadap gerak itu, jika dikenang, dicatat dan diajar kepada murid, itulah ilmu. Jika disusun rapi dan diulang latih, maka jadilah ia sukatan pelajaran (silibus). Namun, petua tetap hidup untuk berhadapan dengan situasi-situasi lain, masih tersimpan di dada guru.

Antara kata-kata guru yang pernah saya timba, bila terkenang, membuat saya senyum sendiri.
Petua tidak diajar, tetapi disampai. Dengan hanya berkata tanpa menunjuk, guru mampu memindahkan petua secara tepat dan langsung tanpa apa-apa pengubahsuaian.

Juga, petua ibarat alat pemerah oren yang mana apabila bertemu oren dan alat, baru patinya keluar menjadi manfaat. Alat itu tidak berubah bentuk, tetapi oren itu kini sudah terhurai.

Petua itu merupakan hasil kajian guru yang berasal dari perkataan Fatwa (pendapat). Apabila seorang ulama mengkaji keadaan yang menimpa umat Islam, ia memberi kesimpulan yang boleh dipakai dalam semua keadaan yang sejenisnya. Dia tidak mengajar segala cabang-cabang ilmu fekah yang berkaitan.

Tegasnya, petua itu mudah dipegang, sukar pula difahami atau dihuraikan melainkan seseorang itu sudahpun mula mempunyai ciri-ciri guru. Ilmu itu mudah pelajari, tetapi tanpa petua, ia hanya menjadi ulangan pada lidah dan minda.

Belajarlah ilmu, tapi tuntutlah petua. Biarlah ilmu menjadi kenangan, tetapi petua menjadi pegangan. Wallahua’lam.

Artikel ini pernah diterbitkan dalam majalah SENI BELADIRI.

30 Mei 2010

Senaman Vs Urut

Di Malaysia, saya dapati masyarakat Melayu mempunyai kegemaran berurut. Mereka mempercayai bahawa banyak penyakit dapat diubati dengan urut. Antara yang pernah saya temui ia boleh rawat termasuklah: kencing manis, barah, busung, buasir, strok dan lain-lain. Sudah tentu masalah mudah seperti sakit kepala dan sakit badan juga termasuk dalam kategori ini.

Ilmu mengurut lama dipadukan dengan kaedah fizikal, fisiologi, kimia, biologi dan spiritual untuk mendatangkan hasil yang cukup memuaskan pesakit. Malangnya, disebabkan begitu ramai tukang urut yang tidak pasti tulen-palsunya, atau tepat-salahnya, maka ramai juga yang sangsi mendatangi tukang urut tanpa ada testimonial dari teman rapat atau ahli keluarga yang berjaya dirawati.

Sebagai seorang yang tidak pernah mempelajari ilmu mengurut, saya tidak berani memberi komen kepada keberkesanannya, kerana terlalu banyak ilmu Melayu zaman dulu yang kini semakin terbukti ketepatannya dari segi sains moden.

Namun, saya ingin berkongsi sebuah pendapat yang lahir daripada pemikiran seorang pakar urut yang juga seorang pesilat dan pengamal perubatan kerohanian Islam, iaitu Mohd Zainudin Ismail. Pak Din atau gelaran usikan ustaz Din yang diberi sahabat rapatnya, mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perubatan alternatif, urut, kerohanian, persilatan, perniagaan dan pembangunan jatidiri.

Beliau pernah menjadi tenaga pengajar bagi Kursus Sehari Urut Tradisi Melayu dan Seminar Mengenal Diri anjuran SMC Innovations dan mendapat sambutan memberangsangkan.

Sepanjang saya mengutip mutiara kata daripadanya walaupun tidak berguru secara langsung, saya dapati, banyak kata-katanya terbukti benar; dan satu pendapat yang beliau lahirkan lekat di kepala saya dalam memperjuangkan Senaman Tua:

"Selagi badan masih boleh bergerak, tidak usah berurut"

Maksud yang disampaikan, badan yang boleh bersenam, tidak padan diusung ke tukang urut. Hanya orang yang sudah lumpuh dan tidak boleh bersenam, maka urutan itu adalah senaman buatnya.

Lama saya memikirkan dan banyak terjumpa bukti dan pendapat pakar lain yang menyokong pendapat ini. Antara yang ditemui:

1. Sekiranya seseorang itu adalah atlit yang cergas dan aktif, maka urut diadakan sebagai senaman bantuan untuk sebelum dan selepas aktiviti. Tetapi, sekiranya ia bukan seorang ang aktif, maka pergi mengurut itu hanya akan melemahkan keupayaannya bersenam atau bergerak.

2. Ada orang yang pertama kali pergi berurut terasa sakit, tetapi semakin pergi, semakin ketagih. Ini adalah kerana, 'sedap' tangan tukang urut berpunca dari badan merembeskan hormon endorfin bagi menumpulkan kesakitan yang dialami. Semakin biasa berurut, semakin hormon endorfin hanya dirembeskan ketika sesi mengurut. Semakin hilang keupayaannya mengeluarkan hormon itu pada keadaan biasa.

Ini samalah seperti kebiasaan manusia moden mengambil tambahan Vitamin C, padahal badan manusia sendiri mampu menghasilkannya. Semakin biasa ia mengambil Vitamin C dari luar, semakin kurang kemampuan badan mengeluarkannya.

3. Badan manusia mempunyai cetakbiru semulajadi, iaitu DNA (deoxyribonucleic acid) atau disebut baka. Setiap kali badan cedera, maka ia akan menyembuhkan tubuh berpandukan DNA ini. Sekiranya ada pengaruh luar seperti gayahidup pincang, salah postur duduk atau berdiri atau lain-lain, maka badan akan sembuh dengan salah, dan kesakitan jangka panjang akan dialami.

Namun, apabila proses penyembuhan ini diserahkan kepada tukang urut, sejauh manakah ketepatan tukang urut mengenali DNA kita atau di mana hak duduknya setiap sel, saraf, tendon atau ligamen? Sepandai-pandai manusia, mesti ada silapnya juga, dan kesilapan itu mungkin cukup merbahaya buat diri, keluarga dan zuriat.

4. Manusia mempunyai sikap, dan kadangkala apabila sikap negatif menjadi penghalang kepada pembangunan diri, jalan mudah adalah meminta atau membayar orang lain untuk menjalankan tanggungjawab kita.

Sebagai contoh, kita ada masalah kegemukan, tetapi bukan masalah kelenjar atau genetik yang menyebabkan kita sukar kurus. Masalahnya hanya satu, tiada disiplin mengawal makan atau tidak mahu bersenam. Maka, jalan mudahnya ialah mengambil pil kelangsingan, mendapatkan rawatan pengurusan berat atau pembedahan sedutlemak.

Sama juga dengan diri yang tidak mahu bersenam tetapi mahu sihat, maka ke tukang urutlah dia. Yang tidak disedari, tiada pembangunan diri kerana sikap itu masih wujud dan masih menduri dalam diri. Satu hari nanti, bila pil sudah tiada dan tukang urut sukar didapati, masalah lama akan timbul sebab perangainya masih mengikut nafsu.

Disebabkan itulah, saya berpendapat, usahlah kita outsource tanggungjawab menjaga diri sendiri dan keluarga kepada orang lain.

Jika kita faham konsep ini, kita akan sedar, betapa banyak kali kita menyalahkan guru atas kebodohan anak kita, menyalahkan jam (yang tak berdering) dan jam (yang di jalan raya) atas kelewatan ke pejabat, menyalahkan isteri dan anak-anak yang tidak hormat pada kita, atau menyalahkan takdir kerana kegagalan kita.

Pendek kata, jangan jadi seperti bangau yang suka menuding.

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

29 Mei 2010

Senaman Kunci

Dalam Senaman Tua, wujud beberapa senaman yang saya anggap kunci kepada senaman lain. Ketika senaman lain menumpu hanya sebahagian atau sekumpulan otot badan, Senaman-Senaman Kunci ini menyenamkan dari hampir separuh hingga keseluruhan badan secara langsung dan tidak langsung. Namun, disebabkan ianya kunci, maka seringkali ia mempunyai bentuk yang ringkas atau tidak nampak keberkesanannya.

Daripada sukatan 27 asas Senaman Tua, saya anggap 4 daripadanya Senaman Kunci, yang jika diamalkan, mampu memelihara tubuh badan secara amnya daripada kelenguhan sendi, otot dan keletihan.

Senaman Kunci amat sesuai bagi mereka yang mempunyai anggota yang mengalami kesakitan yang jitu. Kesakitan itu menyebabkan ia tidak dapat disenamkan. Contohnya, sakit leher, sakit belakang, sakit bahu dan pelbagai lagi. Disebabkan bahagian-bahagian ini tidak dapat di'serang' secara langsung, maka kita anjurkan mereka mengamalkan senaman yang memberi kesan kepadanya secara tidak langsung.

Sebagai contoh, lazim diketahui di kalangan pengamal kecergasan bahawa masalah sakit leher bertaliarus daripada sakit belakang, sakit pinggang, sakit lutut dan sakit buku lali, cara jalan yang tidak berkesan atau postur yang salah. Senaman yang paling sesuai adalah senaman jenis tapak.

Inilah antara sebab guru silat dahulu amat menitikberatkan kuda-kuda atau tari silat yang bermain rendah, kerana ia adalah kunci kepada kesihatan tubuh menegak.

Nafas Melayu
Nafas ini, pada hemat saya, adalah raja kepada semua dalam Senaman Tua, kerana tanpa Nafas Melayu, semuanya menjadi senaman biasa saja.

Nafas Melayu dengan sendirinya menyenamkan paru-paru secara fisiologi - melatihnya memproses lebih banyak oksigen, diafram, perut, usus, otot rusuk, pinggang, tulang belakang, belikat dan leher.

Namun, senaman yang dialami adalah amat halus dan beralun, hinggakan sekiranya tidak mengamalkan pecahan khusus senaman, mungkin tidak akan merasai perbezaan sebelum dan selepasnya.

Disebabkan kehalusannya itulah, saya sendiri mengambil masa hampir 13 tahun untuk mula memahami kegunaan dan keberkesanannya. Hasilnya, saya pernah menggunakan kaedah ini untuk menyelesaikan masalah stres, gigi sensitif, badan kesejukan, sakit kepala dan bermacam lagi.

Tapak 9
Amalan senaman ini secara konsisten mampu memelihara setiap sendi yang wujud secara menegak di kaki dan tubuh badan. Tapak kaki merupakan penanggung beban bagi keseluruhan badan, maka apabila tapak kaki bergerak, sendi tapak, buku lali, lutut, kelangkang, pinggang, tulang belakang dan leher harus bergerak dan membetulkan posisinya untuk memastikan tubuh tetap seimbang.

Hasilnya, setiap sendi diurut secara kasar dan halus dan semakin atas posisinya pada tubuh, semakin halus urutannya. Ini cukup sesuai kerana tulang belakang dan leher tidak wajar mendapat hentakan atau gerakan yang mengejut dan keras. Ia hanya memerlukan riadah dan didikan untuk mengekalkan postur.

Saya sendiri pernah terponteng kelas Lok 9 dan Senaman Tua sepanjang 6 bulan, tetapi hari saya hadir kembali, rakan sekelas memberi komen bahawa saya tidak pancit dan masih boleh melengkapkan senaman dan tari rendah. Mereka menjangka saya tetap berlatih Senaman Tua di rumah sepanjang 6 bulan itu.

Ada benar dan silapnya. Memang saya berlatih, tetapi hanya Tapak 9.

Teratai
Teratai atau juga digelar Tari Piring atau Tari Lilin di kawasan pedalaman merupakan senaman yang mengaktifkan setiap sendi jari, pergelangan tangan, siku, bahu, belikat tulang belakang dan belikat.

Pengamalan harian Teratai boleh memudahkan pergerakan bahagian tubuh atas dan secara tidak langsung membantu pernafasan dan postur.

Mengikut cikgu Eliza Hafiz yang kini mendalami ijazah kedoktoran Fisioterapi, ketika beliau menjalani latihan praktikal di Hospital Besar Kuala Lumpur, beliau pernah menyarankan Teratai kepada pesakitnya.

Beliau mendapati Teratai Dalam mampu memulihkan pesakit dari masalah Tennis Elbow dan Teratai Luar pula memulihkan Golfer's Elbow.

Pengalaman saya juga, Teratai banyak membantu pesakit dengan kesulitan Frozen Shoulder, Stiff Neck, Carpal Tunnel Syndrome dan sendi tanggal.

Sepanjang saya bersilat, saya pernah mengalami dislocated shoulder pada kedua-dua bahu, dan masalah menimpa akibat ia tidak sembuh seperti sediakala. Setiap kali cuaca sejuk, saya bahu akan terasa berangin dan sejuk yang mencucuk.

Teratai inilah juga yang menjadi sebab ia sembuh sepenuhnya.

Tampar Anak Beruang
Jika Nafas Melayu merajai kesemua senaman, Tapak 9 merajai senaman kaki dan Teratai merajai senaman tangan, maka Tampar Anak Beruang yang terkandung dalam senaman Bilas Tangan saya anggap sebagai penghubung antara ketiga-tiganya.

Ini kerana ia melatih pengamal menyampaikan tenaga gerak daripada tapak kaki ke hujung jari dalam satu gerak yang mengalir tanpa putus. Latihan sebegini menggabungkan ketiga-tiga senaman awal tadi dan mampu menyenamkan dan mendidik kesemua sendi kaki, kesemua sendi tangan, kesemua sendi tubuh dan leher.

Ia juga meningkatkan daya stamina dan kekuatan kardiovaskular apabila dilakukan secara laju dan berterusan. Ia membina ketajaman berfikir dalam kalut dan menyeragamkan koordinasi seluruh badan.

Kesimpulan
Maka, secara teorinya, sekiranya kita hanya mengamalkan keempat-empat Senaman Kunci ini, tidak mustahil kesihatan dan kecergasan am kita akan terpelihara untuk jangkamasa panjang. Daripada kita memonteng langsung kelas senaman disebabkan "terlalu banyak senaman" atau "terlalu letih membuatnya", maka sini ada satu pilihan mudah untuk menjaga diri.

Ia boleh dilakukan di mana-mana, pada bila-bila masa tanpa pakaian, tempat atau keadaan yang khusus.

Daripada 27 dikuncikan menjadi 4. Jika itu pun tidak mampu, maka tiada siapa lagi yang dapat menolongnya.

28 Mei 2010

Langkah Senamku 2: Melayu masih malu

Semasa membantu mempromosi Senaman Tua antara tahun 1997-2004 bersama guru Azlan Ghanie, dalam sedar atau tidak, saya seringkali memainkan peranan 'orang muda', berpasangan dengan watak 'orang tua' beliau.

Apabila memperkenalkan ST kepada orang yang belum atau baru hendak berkenalan dengannya, saya yang cepat naik angin manakala guru Azlan yang sentiasa 'cool' menangani keadaan.

Jika satu pagi, guru Azlan berkata: "Nadzrin, kita ke kementerian, ada peluang sampaikan cerita ST", saya sudah tahu, hati saya takkan tenteram. Ini kerana, sudah pasti, bila menyebut sahaja nama ilmu yang dibawa, bermacam ragam mimik muka dan ayat akan keluar.

"Eh, Senaman Tua? Tak naklah, nanti jadi tua"

"Hahaha ... senaman untuk orang tua ke?"

"Saya muda lagi bang ... hehehe"

"Wah, bahaya tu ... tua-tua pun boleh bersenam ke?"

dan, yang paling menyiat jiwa, tiada kata-kata disampaikan, hanya:

"Wahahahahahahahahaha!"

Sayalah, ketika itu menahan telapak daripada hinggap di muka manusia yang tidak sedar diri, dan guru Azlan hanya tersenyum sinis.

Senaman. Tua.

Aduh.

Pernah ada antara manusia yang menerima konsep ST, tetapi mencadangkan agar namanya diubah supaya lebih komersil. Antara yang paling menyakitkan jiwa saya: Senaman Perkasa, Senaman Jawi, Tramex (Traditional Malay Exercise) dan banyak lagilah.

Malah, guru Azlan juga pernah sekali dua menyatakan hendak mengubah namanya. Saya tidak tahu, adakah ketika itu beliau melawak sedih, atau benar-benar serius. Tapi, saya tegas menyatakan, jangan sesiapa sewenang-wenangnya mengubah namanya, melainkan guru Azlan sendiri memutuskan, barulah saya akan akur.

Saya sedih, dan bertanya, apakah puncanya orang Melayu begini? Dalam berfikir dan bertanya, akhirnya saya terjumpa jawapannya.

Jawapannya bukan semudah "Orang Melayu tidak percaya pada ilmu orang Melayu sendiri", kerana buku-buku senaman Melayu banyak dihormati dan dibaca oleh peminat-peminatnya. Rupa-rupanya, masalah yang ada jauh lebih mendalam. Orang Melayu sudah rosak akhlaknya, pincang hormatnya, dan gagal jatidirinya.

Dalam menghormati orang tua.

Pandangan Barat kepada tua: Useless, underperforming, decrepit, past their prime, burden, over the hill dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut menjadi tua. Pandangan Timur kepada tua: Bijaksana, berilmu, makan garam terlebih dahulu, kail berjengkal-jengkal. Lebih tua, lebih dihormati.

Namun, kehadiran Facebook, ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran, kehidupan di Kuala Lumpur dan pelbagai lagi kecanggihan orang muda membuktikan kepada mereka, bahawa, orang tua sebenarnya tidaklah sepandai yang disangka, dan nilainya jauh lebih rendah daripada diri aku. Orang kampung. Apa mereka tahu?

Kajian sayamendapati nama Senaman Tua yang diberi guru Azlan, mempunyai makna yang cukup mendalam, biarpun ST atau nama asalnya, Senaman Petua. Perkataan Tua berasal dari bahasa Sanskrit dan berbentuk Tuha yang membawa maksud Utama.

Maka dari keutamaan perkataan itulah lahirnya perkataan Tuhan, Tuan, Pengetua, Ketua, Ketuanan, Orang Tua-Tua (bijak pandai) dan pelbagai lagi variasinya. Ini membuktikan, orang dahulu meninggikan orang tua dan ilmu yang mereka timba, amal dan wariskan.

Petua pula adalah lidahan Melayu ke atas perkataan Fatwa yang bermaksud pendapat atau keputusan. Fatwa dikeluarkan seorang yang alim dalam Fiqh dan berbentuk satu suruhan, keizinan atau larangan kepada masyarakat atau orang perseorangan sebagai keputusan ilmunya. Mereka yang mengamalkan sesuatu fatwa hanya bertaqlid kepada alim itu tanpa perlu mempelajari fiqh bertahun-tahun sepertimana beliau.

Petua pula adalah kesimpulan atau keputusan ilmu orang tua yang disampaikan kepada orang muda tanpa perlu mempelajari atau melalui apa yang dialami beliau sepanjang hidupnya. Orang moden menggelarnya tips atau best practices kerana ia adalah hasil pengalaman kepakaran dalam satu-satu bidang.

Oleh itu, Senaman Tua/ Petua membawa maksud senaman yang bersandarkan kesimpulan ilmu orang dahulu yang utama, the core, bukan yang sampingan. Inilah kepercayaan saya.

Maka, apabila orang Melayu sendiri ketawa mendengar perkataan tua dan terbayangkan seorang tua yang bodoh tak reti main facebook, kerepot ilmu laptop dan nyanyuk baling ubat gegat (sila rujuk filem Main-Main Hantu, 1990), maka saksikanlah mereka membuka kebodohan dan kedangkalan diri sendiri kerana menghilangkan hormat kepada ibubapa mereka sendiri dan masyarakat tua sekeliling.

Bukankah ini salah satu tanda kiamat?

Kini, ST sudah berkembang jauh, dan hormat itu semakin ada, tetapi jurulatih ST seluruh Malaysia masih menghadapi orang yang berfikiran sama. Tidak apa. Berjuanglah. InsyaAllah berjaya.

Saya pula?

Jawapan yang kini saya berikan, tatkala berhadapan dengan makhluk yang mentertawakan Senaman Tua: "Ya, hanya orang tua boleh belajar, kerana orang muda belum tentu mampu melakukannya".

Telapak tangan saya masih ringan, menunggu masa melepaskan geramnya.

Bersambung...

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

27 Mei 2010

Tapak 9 - Mengenang jasa anggota dihina

Jika ditanya, bahagian badan manakah yang paling hina, tentu ada yang menjawab, Allah tidak menjadikan manusia itu hina, maka tiadalah hinanya anggotanya juga. Tepat sekali, tetapi ada bahagian yang kita mudah lupai, malah menghinainya dengan meletakkan ia di paras paling bawah dalam hidup kita, iaitu tapak kaki.

Sebelum kita terkena paku, tapak kaki terkena dulu. Bila kita berjalan jauh, sebelum sakit apa-apa, kita sakit kaki dulu. Antara banyak bahagian badan, tapak kakilah yang tidak dilihati selagi tiada sakit atau luka padanya. Mudahnya kita melupainya.

Dalam ST, antara senaman yang terawal adalah senaman Tapak 9, bagi mengenali kembali fungsi dan jasa anggota ini.

Menurut guru Azlan Ghanie, konsep Tapak 9 diamalkan oleh orang-orang tua (sebagai contoh nenek beliau di sebelah ibu) di zaman dahulu. Asalnya, ia diamalkan dengan menekan bahagian-bahagian tapak kaki kepada akar pokok yang terdedah.

Dengan cara ini, tekanan yang digunakan dapat dikawal oleh pengamal dan tahap kesakitan dapat diaraskan dengan mudah mengikut keselesaan dan ketahanan pengamal sendiri.

Dalam mengajar senaman ini, seringkali pengamal bertanyakan nama bahagian-bahagian tapak kaki. Disebabkan ia tidak pernah diajar oleh guru Azlan, maka saya mengambil inisiatif untuk mengumpulkan namanya daripada guru silat, pengamal perubatan dan pakar bahasa yang saya kenali. Maka senarai di bawah adalah hasil daripada kajian saya sendiri.

1 - Ibu kaki
Ibu kaki adalah ibu jari pada kaki dan berfungsi menstabilkan badan daripada jatuh ke hadapan, dibantu jari kaki. Ibu kaki adalah jari kaki yang paling kuat dan mampu menanggung hampir separuh dari berat badan manusia. Namun, itu hanyalah sebagai ukuran kemampuannya, bukan fungsinya yang sebenar. Antara pengamal yang berjaya melatih jari ini adalah penari balet dan akrobat Cina.

Pesilat pula melihat Ibu kaki sebagai antara senjata yang paling halus yang mampu menumbangkan musuh tika ditujah ke belakang pelipat kaki, ditikam ke celah kelangkang, mencubit peha dan lain-lain lagi.

2 - Jari kaki
Jari kaki membantu Ibu kaki menstabilkan kedudukan pendirian tuannya. Ialah bahagian yang menahan badan daripada terjatuh ke hadapan. Malah, apabila ditolak menjadi imam dalam sembahyang, tapak ini jugalah yang berfungsi menahan daripada menerima tugasan yang berat itu.

3 - Pahat depan
Pahat depan berfungsi mengimbangkan badan apabila tuannya mula hendak duduk bersila. Ia juga berfungsi sebagai tapak transisi. Lazimnya apabila seseorang yang berdiri lurus ditolak dari sisi melebihi titik gravitinya, ia akan terjatuh ke tepi ke atas lantai.

Tetapi, latihan Tapak 9 bersama dengan Sila Pendekar dan langkahan dalam Lok 3 (dalam latihan Keris Lok 9) menajamkan refleks penggunaan tapak ini. Sebelum tuannya sempat jatuh, kaki pasangannya akan bersilang dan menggantikan tapak itu untuk mencari keseimbangan kembali.

4 - Pahat belakang
Pahat belakang adalah tapak sokongan yang menyokong Pahat depan ketika mengekalkan imbangan dan Tumit ketika melakukan pusingan mengalih arah. Tanpa Pahat belakang, pusingan tumit mungkin akan kehilangan panduan dan keseimbangan.

5 - Tumit
Tumit atau tapak paksi adalah titik di mana peralihan arah sering berlaku. Walaupun pada sesetengah manusia kegemaran meletakkan paksi adalah pada Tapak 6 atau 7, tetapi secara fisiologi, tumit merupakan tapak terkuat kerana mendapat sokongan otot dan struktur tulang termasuk buku lali.

Disebabkan itulah juga, ia antara yang paling mudah cedera jika postur dan cara berjalan tuannya tidak betul.

6 - Tekan
Tapak ini berfungsi menyokong gerakan tapak 7 dan dalam sesetengah keadaan, boleh juga menggantikan peranan tapak itu. Ia adalah tapak yang sering digunakan untuk membunuh lipas.

7 - Loncat
Tapak ini adalah bahagian yang paling berfungsi pada tapak kaki. Sekiranya kita lahir tanpa tapak 7 ini, maka sukarlah kita hendak bergerak. Tapak loncat adalah tapak yang terakhir meninggalkan tanah apabila kita berjalan atau meloncat dan tapak terawal menyentuh tanah daripada loncatan.

Ini adalah kerana, ialah satu-satunya tapak yang cukup berdaging dan mampu menjadi titik temutanah bagi menyerap hentakan. Setelah memahami fungsi tapak 7 ini, gerakan elakan dan langkahan dalam silat menjadi satu kemudahan.

8 - Jengket
Tapak ini adalah gabungan antara Tapak 1, 2, 6 dan 7 dan berfungsi menambahkan ketinggian manusia bagi mencapai sesuatu di paras yang tinggi.

9 - Bumi
Tapak ini adalah tapak gabungan antara kelapan-lapan tapak awal dan berfungsi dalam mengawal pendirian dan postur manusia.

Kaedah senaman
Badan diberatkan kepada Tapak 1, diikuti Tapak 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8 dan 9 dalam satu putaran yang tidak putus. Gerakan ini dilakukan beberapa kali dan disertai Nafas Melayu. Daripada asas ini senaman ini boleh dipecahkan lagi kepada beberapa variasi bergantung kepada keperluan dan fungsinya.

Tapak rahsia?
Dalam ajaran Silat Melayu Keris Lok 9 terdapat dua lagi tapak yang dikira sebahagian daripada tapak kaki ini, tetapi sering dianggap sebagai tapak rahsia, melengkapkan jumlahnya menjadi 11. Saya menamakannya tapak Perut dan tapak Lipat. Sekiranya anda adalah pengamal Lok 9, sudah tentu anda sudah mengenali bahagian-bahagian ini.

Kelebihan Tapak 9
1. Boleh diamalkan tanpa menggunakan tangan atau alat

2. Boleh diamalkan di mana-mana tanpa pengetahuan khusus mengenai titik refleks tapak kaki

3. Menekan pada permukaan tidak rata yang anjal seperti tanah, akar, getah dan bukan pada permukaan tidak rata yang keras seperti batu (yang mampu mencederakan tapak kaki apabila daging berlaga dengan tulang)

4. Boleh dilakukan sambil memakai kasut

Manfaat Tapak 9
1. Apabila Tapak 9 dilakukan bersama Nafas Melayu, tapak kaki, buku lali, betis, lutut, pinggang, perut, belikat dan leher turut bersenam sekali. Ini membina postur yang baik.

2. Perederan darah ke kaki seringkali terjejas akibat kasut yang ketat atau terlalu banyak berdiri. Tapak 9 mampu merawat masalah ini.

3. Membina kekuatan buku lali, betis dan lutut bagi memastikan sokongan yang mencukupi bagi berat badan.

4. Melatih kemahiran imbangan.

5. Mengenali bahagian tapak kaki sendiri dan fungsi-fungsinya.

6. Menyenamkan otot-otot halus dari sudut-sudut berlainan.

7. Memberi rangsangan positif kepada sistem saraf, langsung mengaktifkan dan melancarkan pengiriman impuls ke seluruh badan.

Jasamu dikenang
Senaman Tapak 9 menjadi antara yang terawal diamalkan adalah menuruti petua Melayu: kaki dulu. Maka, ketika mandi, kaki yang dibasahkan dulu. Dan ketika bersenam, kaki yang dipanaskan dulu.

Namun, secara fisiologinya, menyenamkan tapak kaki sebenarnya membantu membina postur dan struktur berdiri yang betul, secara tidak langsung, dan membina kekuatan kaki untuk menanggung beban badan dalam diam dan dalam gerak.

Maka, kenangilah jasa kaki kita dan hargailah setiap bahagiannya. Jangan apabila sudah ditanggalkan doktor, baru hendak menangisi kehilangannya.

26 Mei 2010

Zulkipli Ismail

Cikgu Zulkipli Ismail @ Zulsensei adalah jurulatih ST yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam beladiri dan kecergasan. Beliau mendapat tauliah ST pada tahun 2003.

Beliau bukan hanya seorang pengamal silat, tetapi adalah sifu dalam Tai Chi dan sensei dalam aikido, menjadikannya seorang yang amat layak berbicara mengenai kesejahteraan daripada pelbagai sudut.

Sila lawati blog beliau di: http://fitnesssafetyandfamily.blogspot.com/

25 Mei 2010

Kalau bagus, kenapa tak terkenal?

Ketika heboh kisah yoga diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan , tiba-tiba di forum internet, muncul nama Senaman Tua sebagai alternatif yang selamat untuk umat Islam di Malaysia amalkan, yang bebas dari perkara yang syirik.

Sejak itu, ramai yang bertanya, jika benar senaman Melayu ini bagus sangat, kenapa ia tidak popular?

Kebetulan pula, seorang sahabat menelefon saya bertanyakan hal yang berkaitan. Beliau menanya pendapat saya mengenai Poco-Poco kerana beliau hendak menulis artikel mengenai orang Melayu yang membelakangkan budaya sendiri. Saya menjawab, saya tidak pernah mengenalinya, mahupun mengalaminya.

Syukur kepada Allah kerana menciptakan YouTube menerusi makhluk Yahudinya, kerana terus saya dapat melihat apa gerak yang dimaksudkan itu. Sahabat yang jelas sedang teruja itu bertanya kenapa orang kita tidak mahu belajar tarian Ngajat, Joget atau yang kita miliki?

Terus saya bertanya, apakah nama langkah pertama dalam Ngajat, dan apakah pola tangan rangkap kedua dalam Joget? Diamnya dan diam saya menunjukkan, sebenarnya, kami juga tidak tertarik kepadanya.

Saya jelaskan, jika itulah Poco-Poco, maka saya pun akan tertarik mempelajarinya. Ini adalah kerana tariannya nampak mudah, ringkas dan berkesan (meminjam kata guru Dahlan, Silat Setiabakti).

Tanya saya lagi, apa faedahnya jika saya belajar Joget atau Ngajat? Adakah saya akan menjadi lebih sihat? Dapat sahabat? Dapat enjoy? Dapat kaya? Apa? Kami terdiam sekali lagi.

Hakikatnya, orang belajar Poco-Poco, dan diperluaskan di pejabat kerajaan, adalah kerana Poco-Poco mudah untuk orang yang tiada kecergasan tinggi, boleh berlatih bersama kawan-kawan dan ada ramai jurulatih kecergasan yang mampu membawanya dengan elok.

Teori ekonomi mengatakan bila ada permintaan, akan ada penawaran. Tetapi, jika tiada penawaran, bagaimana peminta hendak tahu produk itu wujud? Maka, di sinilah peliknya manusia, yang mana dicakup dalam satu ungkapan yang cukup bermakna: Tidak kenal, maka tidaklah cinta.

Bagi setiap perkara yang hendak berkembang ia memerlukan tiga perkara: Manfaat yang jelas, rangka warwaran (promosi lah) dan juara yang mewarwarkannya.

Jika produk itu tidak bagus, iklan dan promoter bagaimanapun takkan dapat melestarikan jualannya untuk jangka panjang. Jika ia bagus, dan ada iklan tapi tiada juara untuk menyokongnya dari segi testimoni atau mulut ke mulut, live shy, but don't want to die also. Jika produknya bagus, dan ada juara, tapi tiada promosi, maka lambatlah prosesnya.

Habis, tanyanya, kenapa Senaman Tua boleh berjaya? Berjayakah? Selepas 7 tahun baru 2010 hendak nampak taringnya. ST 'berjaya' kerana ia ada dokongan majalah SENI BELADIRI sebagai promoter, tetapi hanya baru-baru ini mendapat lebih dari seorang juara di kalangan jurulatih-jurulatihnya. Namun, perjalanannya masih jauh.

Mari kita muhasabah. Adakah benar maksim "bagus=mesti popular" itu benar? Saya akhiri dengan satu bandingan. Jika benar Islam itu satu agama yang hebat, kenapa orang tidak berduyun-duyun memeluknya? Ingatlah 3 serangkainya: manfaat, warwaran dan juara. Manfaat jelas ada. Apa yang tidak cukup?

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

24 Mei 2010

Sila dikhianati kerusi

Di kalangan pejuang warisan, mereka gemar melabelkan Melayu tidak sedar diri sebagai pengkhianat, pembelot dan bermacam lagi apabila diketahui mereka meninggalkan atau mengutuk warisan budaya Melayu itu sendiri.

Sebelum ini, saya tidak sempat menuduh sesiapa pun, sebab tidak jelas apa faedahnya menuduh. Namun, pada hari ini, saya dengan sukacitanya sudi menuduh seluruh rakyat Malaysia berbangsa Melayu (jika ada yang tidak berkenaan, saya mohon maaf dari awal) sebagai pengkhianat bangsa kerana meninggalkan satu warisan budaya yang cukup berharga: duduk bersila.

Adakah anda pendukung sila? Bagaimana hendak diketahui? Adakah anda, ketika hendak duduk bersila, terpaksa bertongkat dahulu dengan sebelah (atau dua-dua tangan), dan begitu juga apabila hendak bangun daripada bersila? Jika ya, kemungkinan besar, anda bukanlah daripada golongan kami, wahai pembelot.

Nadzrin, engkau dah betul-betul melampau kali ini. Ada ke aku tak duduk bersila, engkau kata aku pengkhianat? Lagipun, selama ini dari kecil, aku belajar di sekolah, di universiti, di kerja, semuanya duduk atas kerusi. Bila masa aku hendak bersila? Kalau nak tuduh orang, tuduhlah yang tak belajar silat, yang belajar beladiri lain, yang kutuk budaya sendiri. Yang itulah layak digelar pengkhianat!

Baiklah. Saya akur. Mungkin saya tersilap. Bukan anda yang salah. Sememangnya anda sentiasalah betul. Bukan anda yang pengkhianat, tapi kerusilah yang mengkhianati anda. Sejak British datang menjajah dan memperkenalkan kerusi secara berleluasa, sejak itulah juga orang Melayu sudah mula melupai sila.

Kerusilah yang mengkhianati anda. Kenapa? Kerana setiap kali anda mengadu sakit buku lali, sakit lutut, sakit pinggang, sakit belakang, sakit leher dan kadangkala juga, sakit kepala, salah satu daripada punca utamanya adalah cara anda duduk di atas kerusi.

Jika anda masih ada keluarga di kampung, pernahkah anda kenali seorang tua daripada generasi dulu yang tiada mengadu sakit pinggang, malah masih mampu berkebun sehingga ke hari tuanya? Jika ada, maka saksikanlah bahawa manusia sebegitu tidak melazimi duduk di atas kerusi, dan jika betul dia melaziminya, maka saksikanlah bahawa badannya sudah terdidik halus oleh sila yang kita lupai itu.

Di Barat, ilmu memelihara kesejahteraan pekerja di pejabat digelar ergonomics, dan antara saranannya ialah cara duduk yang betul di atas kerusi, cara betul menggunakan tetikus, cara betul menghadap komputer dan lain-lain lagi.

Namun, proses pendidikan kembali tubuh yang terdapat dalam Senaman Tua tidak memerlukan saranan daripada luar, tetapi pengamal yang mengamalkannya dengan betul dan menuruti petuanya, akan kenal bagaimana mengekalkan postur dalam keadaan berdiri, duduk, mengangkat bebanan, mencangkung dan pelbagai lagi aksi yang tidak wajar dirakamkan di sini.

Antara yang paling mujarab, adalah Sila Pendekar (sila lihat gambar sila di atas). Sila Pendekar memperkenalkan pengamal kepada tapak kaki, buku lali, lutut, peha, kelangkang dan pinggangnya, jika dia belum pernah berkenalan dengan mereka.

Sila Pendekar mendidik pengamal mengimbangkan badan dan memindahkan bebanan kepada otot yang betul menggunakan posisi kaki yang betul. Maka, daripada posisi berdiri, pengamal diajar untuk duduk terus ke dalam lipatan sila, tanpa bertongkatkan tangan atau jatuh bagaikan cempedak busuk.

Kemahiran diraih apabila pengamal mampu berdiri daripada sila dan duduk kepada sila dalam keadaan terkawal, boleh berhenti di tengah-tengah, atau berhenti berkali-kali atau kekal dalam satu hentian tanpa mudah lesu. Itulah kemahiran.

Tetapi, kepakaran. Ah! Kepakaran itu suatu perkara yang cukup indah ditontoni. Ketika mengikut rombongan majalah SENI BELADIRI mencari seorang guru tua di Maran, kami terserempak dengan Haji Mustaffa Ibrahim, seorang guru Silat Menanti berumur 66 tahun yang mempersembahkan sebuah sembah raja.

Beliau duduk bersila dan bangun sejengkal, masih dalam keadaan bersila, berpusing atas silanya 360 darjah untuk kembali bersila di atas lantai. Disebabkan beliau memakai kain pelekat, dan kakinya terlindung, maka tergamam kami kerana bagaikan beliau terbang ke udara. Begitu halus dan terkawal geraknya.

Sejak kejadian itulah, pengamal ST gigih berlatih Sila Pendekar, kononnya hendak menjadi seperti Haji Mustaffa. Perlukah kita menunggu ke umur 66 untuk menjadi pakar? Jadi, apa tunggu lagi? Silalah.

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

23 Mei 2010

Giant Active - Hisamuddin Abd Jalil

Hisamuddin Abd Jalil @ Giant adalah antara jurulatih ST yang terawal mendapat tauliah pada tahun 2003. Giant adalah seorang jurulatih kecergasan, aerobik dan bina badan dan kini mengurus gim di Petronas Penapisan Melaka di Sg Udang, Melaka.

Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam bidang senaman dan kecergasan dan juga pernah melatih pasukan sukan sekolah (sehingga menyapu bersih kejuaraan sukan antara sekolah) dan menyediakan pasukan pendaki ke gunung Kinabalu. Sila lawati blog beliau untuk menimba ilmu kecergasan di http://giantactive.blogspot.com

22 Mei 2010

Teratai Melayu - Mohd Nazif Arifin

Mohd Nazif Arifin adalah antara jurulatih ST yang aktif mengajar dan mengkaji. Saya menjemput peminat untuk melawat blog beliau di http://terataimelayu.blogspot.com

Di blog itu, beliau menuliskan kajian STnya dan pengalamannya menumpaskan asma, resdung dan alahan menggunakan ST. Sila lawati dan tinggalkan komen untuk artikelnya.

21 Mei 2010

Mesej dari pengamal Lok 9 dan ST di Afrika Selatan

"Salam Pesilat Pesilat semuanya,

Just a quick message. Ive been noticing the development of Senaman Tua and Guru Azlan's growing efforts to spread the good practice. He is making great strides and as a community of Pesilats, we should all wish him well with his endeavours.

"On the South African scene, the world cup is on our doorstep and I had to halt my efforts so that we dont have to be disturbed with it.

"Wish us well with a gradual re-establishment of Silat for our people over here. Both the practical and the teachings of Silat Philosophy is much needed around here and our efforts will not die.

"Takkan Silat Hilang di-Dunia!"

Nabeel Jackson Rhodes

20 Mei 2010

Adakah Senaman Tua merbahaya?

Di dalam bidang kecergasan, terdapat satu kerisauan bahawa sesetengah senaman yang diamalkan adalah merbahaya pada jangka masa panjang kepada badan manusia. Kerisauan ini bermula pada tahun 1980-an apabila Amerika Syarikat tiba-tiba sedar senam dan mulalah bertebaran video aerobik merata-rata, yang paling popular oleh Jane Fonda.

Malangnya, kebanyakan daripada 'jurulatih' ini tiada tauliah dalam asas kecergasan langsung dan menyebabkan gerakan yang entah apa-apa menjadi amalan suri rumah seluruh negara! Hasilnya, kecederaan dan kesulitan kesihatan melampau melanda Amerika Syarikat.

Rentetan daripada itu, lebih banyak fokus diberi kepada sains gerakan manusia dalam kesukanan, dan bidang yang dahulunya tidak popular menerima tumpuan daripada orang biasa. Maka, segala senaman yang menjadi amalan biasa dalam sukan diperhalusi dan didapati, ada antaranya sememangnya merbahaya diamalkan.

Satu perubahan yang nyata, ketika saya bersekolah, guru pendidikan jasmani dan kecergasan saya, (mendiang) Mr Tan Kim Beng mengajarkan senaman golek kepala, pusing lutut dan pusing buku lali yang sudah bertahun kami amalkan daripada sekolah rendah. Selepas beliau pulang dari satu kursus kecergasan, langsung mengubah cara kami bersenam sebelum bersukan.

"Cara lama tu merbahaya," katanya. Terdetik pula dalam hati, kalau merbahaya, kenapa diajarkan di sekolah kerajaan? Jawapan yang diberi, Malaysia banyak ketinggalan dalam teknologi kesukanan. Ketika itu, saya cukup malu mengaku Melayu. Sedih. Dalam hal senaman pun kita ketinggalan.

Sehinggalah saya bertemu Senaman Tua.

Tanggapan pertama, sudah tentulah ST dibelenggu masalah sama, kerana tidak mendapat manfaat daripada kajian saintifik. Mesti banyak senaman merbahaya. Malah, pernah beberapa jurulatih kecergasan pernah membuat kenyataan sebegitu kepada saya sendiri.

Mereka tetap mempertahankannya, walaupun saya menyatakan tidak pernah mengalami apa-apa masalah, dan tiada anggota kelas saya yang cedera. Sehingga kini, di internet, belum ada anti-testimoni yang menyalahkan ST atas keadaan mereka.

Dalam mengajar dan mengamal, lama-kelamaan saya mendapat jawapannya. Apa beza ST dan senaman moden? Apa yang ada pada ST yang tiada atau tidak jelas pada senaman moden? Satu sahaja perkataannya: Petua.

Bagi mereka yang belum mempelajari ST, belum tentu memahami apa maksud ayat di atas, maka untuk memahaminya, ambillah rasa, atau lebih baik, bergurulah.

Petua adalah pemandu, pembimbing, pengiring dan pengawal kepada pengamal daripada segala cedera yang mungkin berlaku dalam kelas latihan. Sekiranya jurulatih dan pengamal menuruti petua dengan betul, sudah tentu tiada kecederaan akan dialami.

Sehingga kini, dalam kelas saya, saya menurunkan pelbagai petua yang diberikan guru Azlan, tetapi dalam itu juga, saya memadukannya dengan pemahaman fizik, biologi dan psikologi yang saya faham. Saya biasa memperturunkan apa yang saya namakan sebagai 7 Petua Gerak: Ruang, Titik, Alif, Lam Alif, Jantan Betina, Mata Angin dan Jengkal.

Daripada kesemua ini, satu petua yang merajai semuanya adalah Nafas Melayu. Pengamal diajar cara bernafas dahulu dan menggunakan nafas itu untuk mengukur gerak pada diri sendiri, mengenali badan sendiri, mencari kelemahan dan kekuatan, membetulkan imbangan dan tekanan, supaya gerak itu menjadi halus.

Sebenarnya jika diikutkan, kesemua senaman di dunia, termasuk ST adalah merbahaya. Yang diperlukan adalah panduan. Tetapi timbul pula soalan, bagaimana kita sebagai jurulatih hendak mengetahui apa yang betul dan apa yang salah?

Hari ini, saya menerima email daripada sahabat seperjuangan, juga jurulatih ST. Beliau bertanya:

"Salam Nadzrin, dalam melakukan ST, apa yang membahayakan pengamal? Adakah pengamal baru sebulan ST, kita suruh buat Lok 1 senafas itu bahaya pada jantung atau paru-paru mereka? Sebab dalam kelas saya ada yang nak pitam bila buat ST. Orang lain ok saja. Pernah saya ajar seorang itu senaman kempis perut, terus dia muntah penuh di sinki belakang, sampai hari ini saya tak tahu kenapa. Adakah kesilapan saya sendiri?"

Tanpa dapat bertemu dengan kedua-dua orang yang dimaksudkan itu, saya sendiri tidak dapat memberi kesimpulan. Tetapi, mengikut pengalaman pada diri dan mengajar, kepitaman adalah gejala beberapa perkara:

  • Bekerja dalam pejabat dalam hawa dingin dan kurang mendapat udara segar
  • Bekerja di Kuala Lumpur dan sering terdedah kepada udara tercemar
  • Bekerja atau bergaya hidup stres yang tinggi, sehingga pola pernafasannya sudah tidak lazim.
  • Mempunyai masalah kesihatan yang berkaitan pernafasan dan otak
  • Tiada kecergasan diri (bukan pesilat atau atlit)
Tugas jurulatih di sini adalah memberikan kelonggaran kepada pengamal supaya mengambil tiga nafas atau dua nafas semasa Lok 1. Kebiasaan saya tidak akan memberikan sesiapa menjalankan Lok 1 Senafas selagi tidak cukup 3 bulan berlatih.

Apabila guru Azlan mengajar, kadangkala beliau akan membenarkan yang lebih awal daripada itu, tapi saya bukan guru, maka saya lebih berhati-hati. Tiga bulan bermaksud, tiada ponteng. Sekiranya beliau tiada penyakit, maka kemungkinan besar adalah disebabkan pola pernafasan yang 'lari' dan perlu diperbetulkan melalui pengamalan Nafas Melayu secara berterusan (bukan di kelas sahaja).

Perkara kedua, muntah. Antara kemungkinan yang ada:

  • Beliau baru sahaja makan dan tidak sempat mencernanya
  • Beliau masuk lambat ke kelas dan tidak membuat senaman Tapak yang awal, terus ke senaman yang sedang dipimpin jurulatih
  • Beliau mengempis dengan bersungguh-sungguh (semangat bersilat, kononnya)
  • Memang ada masalah atau penyakit pencernaan
  • Juga ada masalah stres dan pola pernafasan yang salah

Pelbagai kemungkinan yang ada. Tetapi, sekiranya dituruti petua yang diajar, insyaAllah, tiada masalah. Bagi mereka yang membaca artikel ini dan belum pernah mengikut kelas, maka petua-petua yang umum bolehlah digunakan.

Antaranya ialah: jangan bersenam padahal sedang kesakitan, jangan tidak berehat, jangan ulangi satu senaman banyak kali, jangan bersenam sambil lewa (tiada fokus), jangan paksa gerakan yang tidak selesa pada sendi, jangan terlalu gelojoh membuat pelbagai senaman dalam satu masa, mahirkan bentuk senaman itu dulu sebelum membuatnya dengan laju atau berulang-ulang dan jangan membebani otot melepasi hadnya.

(Sumber: http://sportsmedicine.about.com/od/injuryprevention/a/Unsafe_Exercise.htm)

Selain daripada itu, anda sendiri yang mengenali badan sendiri. Jika jurulatih menyuruh membuat satu gerakan yang anda belum mampu, jangan dipaksa diri. Bertatih dahulu, baru berlari. Jika jurulatih menghalang anda daripada mengikuti senaman yang diberikan kepada senior dalam kelas, maka turutilah larangan itu.

Sehingga kini, saya belum pernah cedera atau berjaya mencederakan sesiapa dalam mana-mana kelas saya menggunakan ST. Semakin sihat ada lah. Yang penting, sekiranya anda menuntut, tuntutlah daripada jurulatih yang bertauliah. Lebih baik ambillah daripada mata air yang masih hidup, masih mengajar dan masih gagah di Setapak itu. Jangan apabila sudah tiada baru hendak dicari.

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

19 Mei 2010

Apa kaitan Silat Melayu Keris Lok 9 dan Senaman Tua?

Ramai orang mengenali guru Azlan Ghanie sebagai pengasas Silat Melayu Keris Lok 9 dan juga Senaman Tua, tapi lama-kelamaan sudah muncul pertanyaan daripada pengamal: Apa kaitannya Lok 9 dan ST?

Jawapan mudahnya: Azlan Ghanie adalah Lok 9 dan Lok 9 adalah ST dan ST adalah Azlan Ghanie.

Untuk menceraikan antara satu dengan yang lain agak sukar. Disebabkan itulah pengasas-pengasas kaedah di Barat sering mengambil nama sendiri sebagai kaedah tersebut.

Alexander Technique diasaskan F. Matthias Alexander, Feldenkrais Method diasaskan Moshe Feldenkrais, Pasteurisation diasaskan Louis Pasteur. Bukannya kerana menimbulkan riak, tetapi mereka sedar, betapa rapatnya kaitan kaedah itu dengan pengalaman hidup, ilmu dan perwatakan mereka.

Namun, orang Timur lebih malu mengaku sebegitu, maka jarang sekali kita dapati sejenis silat dinamakan sendiri oleh pengasasnya dengan namanya, atau sesebuah tariqat dinamakan sendiri pengasasnya. Mungkin juga, tren itu semakin berubah.

Maka, pada saya, tidaklah salah jika kita namakan Senaman Azlan, kerana segala apa yang kita tuntut, adalah sulingan daripada ilmu, pengalaman dan kajian guru Azlan sepanjang 50 lebih tahun hidup di muka bumi.

Kita hanya menagih ilmu secara percuma tanpa perlu mengharungi zaman badan kering kurang dari 50kg, sakit-sakit, pengalaman bermain pelbagai jenis sukan, dilanda strok selama beberapa tahun, kehilangan punca rezeki, dicuba guru silat dan beladiri lain secara zahir dan batin dan entah apa-apa lagi yang tidak diberitahu kepada kita.

Jika ada yang terdetik, apakah ini artikel memuji guru Azlan? Inilah kebenarannya. Beliau tidak memerlukan pujian daripada kita. Sultan dan ulama sendiri sudah memujinya. Artikel ini adalah artikel menyedarkan, kepada kami yang tidak tahu menghargai ilmu yang disampaikan beliau, kadangkala secara percuma, dan jika ada yang tidak tahu pengorbanan yang dilakukan, bacalah.

Ilmu silat diri dan keluarga disimpan rapi, dan diajar percuma kepada sesiapa yang menuntut daripadanya, ketika zaman majalah PENDEKAR, majalah SENI BELADIRI: orang biasa, guru silat, pesilat olahraga negara, polis, tentera, pengawal peribadi, ulama, peniaga, ahli politik dan ramai lagi.

Tetapi, bila semakin ramai yang meminta (termasuk guru silat lain yang menggalakkan), guru Azlan bagaikan 'terpaksa' menzahirkan Silat Melayu Keris Lok 9 buat umum, padahal itu ibarat perbuatan menelanjangkan diri. Mengadakan kelas silat mengambil masa daripada pencarian rezeki dan keluarganya. Ketika itu, maklum sahaja guru silat tiada yang kaya dengan silat. Ini pengorbanan pertamanya.

Punyalah menarik ilmu dalam diri guru Azlan ini, hinggakan ada orang yang tertarik hanya kepada beberapa bahagian sahaja dan nak menuntut yang itu sahaja. Ada jurulatih yang berkata, silat saya tiada permainan keris. Bolehkah saya serapkan kaedah Lok 9 dalam mengajar murid saya? Guru Azlan setuju.

Maka, dibukakan kepada umum buat pertama kali di Hotel Vistana pada 2 Februari 2002 semasa Seminar Antarabangsa Pertama Keris Melayu di mana ilmu permainan keris diajar terbuka tanpa perlu menjadi ahli Lok 9 dan diulangi pada tahun seterusnya. Pengorbanan kedua.

Kemudian, timbul pula minat pesilat untuk belajar Senaman Tua sahaja, padahal bagi pesilat Lok 9 yang awal, tiada perbezaan ST dan Lok 9. ST adalah pemanas badan untuk melakukan gerak silat. Maka, gerak silat sudah terlatih semasa bersenam. Ada yang mencadangkan agar diasingkan dan diajar sehingga ke tahap jurulatih untuk diserapkan ke dalam silat berlainan. Adakah bapa yang sanggup berkongsikan anaknya kepada umum? Adakah guru silat yang sanggup berkongsikan ilmunya menjadi hak awam?

Pada awal Jun 2003 diadakan untuk lebih 30 peserta, kursus kejurulatihan Senaman Tua yang melayakkan mereka mengajar ST di mana-mana di Malaysia. Tiada royalti dikenakan. Apa yuran dikenakan, terpulang kepada mereka. Mereka hanya tidak dibenarkan menukar nama ST, atau menyalahgunakan logo ST. Pengorbanan ketiga.

Sehingga kini, guru Azlan masih turun padang, dan sendiri mengajarkan ST kepada umum, padahal jurulatih di kawasan itu sendiri boleh saja melakukannya. Tapi mereka tetap memanggilnya turun.

Mereka yang hanya belajar ST akan mendapat satu kekuatan, kefahaman dan kecergasan yang mungkin tidak pernah dialami, lagi-lagi jika tidak pernah menuntut silat. Tetapi, bagi pesilat Lok 9, mereka lebih memahami asal usul ST dan kaitannya dengan Lok 9, kelebihannya, kegunaannya dan kemahirannya. Pendek kata, jika menuntut ST, akan dapat satu. Jika menuntut Lok 9, akan dapat semua.

Jadi, apa kaitannya antara Lok 9 dan ST? Tiada kaitan, kerana ia sememangnya tidak berpisah, ibarat bunga dan buah yang dilahirkannya.

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

17 Mei 2010

Langkah Senamku 1: Tapak Mula

Tahun 2010 nampaknya adalah tahun keramat bagi Senaman Tua. Walaupun kursus yang melahirkan jurulatih terkini baru sahaja diadakan pada bulan April, tetapi sudah ada satu lagi kursus dicadangkan untuk bulan Jun pula, dianjurkan Yayasan Restu. Satu perkembangan yang cukup baik, dan cukup mengharukan.

Perkembangan inilah antara sebab saya mula menarikan jari kembali untuk blog Senaman Tua: Khazanah Kecergasan Melayu. Melihat semakin ramai jurulatih mengisi kekosongan senaman Melayu di tanahair, dan semakin banyak blog dan laman facebook yang diasaskan semata-mata mempromosikan ST, membuatkan saya teringin juga melangkah bersama, takut tertinggal di belakang.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak dengan ST, ketahuilah, perjalanan untuk sampai ke sini buat guru Azlan Ghanie bukanlah mudah, malah pernah beberapa kali beliau terdetik untuk meninggalkan sahaja dunia persilatan Melayu, dek suara-suara dan tindakan mereka yang tidak faham kepada perjuangannya.

Saya pula, seorang pengamal ST yang sudah lama meninggalkan mainstream ST itu sendiri, tetapi masih mengamal (sedikit sebanyak) dan menyebarkan sekadar termampu apa yang ditimba beberapa tahun dahulu. Ketidakdayatahanan saya kepada cubaan perjuangan membuatkan saya memilih untuk berjuang dengan cara lain dan melangkah mengikut rentak sendiri.

Bagi mereka yang tahu, sebelum saya mengenali ST, atau Lok 9 atau SB, saya mengenali guru Azlan terlebih dahulu. Tahun 1997, saya duduk dibelanja teh tarik oleh beliau ketika bertemu di Bangsar, ketika sama-sama menghadiri kejuaraan tempur gaya bebas Typhoon Ninja Kung Fu. Saya sebagai penonton, beliau sebagai wartawan.

Dalam berbicara, beliau mengetahui minat saya terhadap penulisan dan silat, satu hubungan pertama yang kami jalinkan. Beliau wartawan dan pesilat berpengalaman dan saya, makhluk hingusan yang masih mengelap hidungnya ke hari ini. Hati saya terpaut habis dengan kerjaya di SENI BELADIRI.

Maka, bila ada masa, bertandanglah makhluk ini ke pejabat SB, membuat sedikit sebanyak kerja bantuan kewartawanan, termasuklah membeli kopi, sambil menimba pengalaman silat dan penulisan.

Guru Azlan tiada mengajar kelas formal silat, malah nama silat pun belum ada, malah silat dan senaman juga belum jelas perbezaannya pada saya. Tapi, beliau tidak pernah lokek ilmu. Punyalah lurus orangnya, tidak pun ditanya, tapi diajar saja. Percuma diberi, tanpa ditanya hendak dibuat apa dengan ilmunya.

Bertahun saya dengannya, nampak orang mengambil kesempatan ke atas kebaikan hatinya. Manusia tidak sempurna sifatnya. Benar. Guru Azlan juga ada keburukannya. Pada saya, keburukannya yang paling buruk, ialah kebaikan hatinya.

Tapi, akhirnya, atas nasihat ramai sahabat dan guru silat, guru Azlan meletakkan harga pada ilmunya. Biarlah orang tuduh beliau menjual silat. Tapi disebabkan harga itu, martabat silat naik mendadak. Hakikatnya, jika pandai mengenen dan pandai mengambil hatinya, hingga ke hari ini, ringan sahaja beliau menurunkan ilmu tanpa sesen dituntut.

Kelahiran Senaman Tua sebagai satu entiti khusus sebenarnya jauh mengawali Silat Melayu Keris Lok 9. Ini kerana, jika diselak majalah PENDEKAR bertahun lamanya, sudah ada kolum "Senaman Tua" yang dimulakan dengan Tari Tangan. Ahli Lok 9 tentu kenal tari tangan itu, kerana itulah ibu yang melahirkan ibu yang mereka gunakan sekarang.

Senaman-senaman awal yang diberikan guru Azlan begitu tinggi geraknya, akal yang dangkal ini tidak dapat menangkapnya. Malang sekali buat kita, kerana guru Azlan terpaksa memudahkan senaman itu untuk kami mudah faham. Maka hilanglah senaman-senaman dragonball, tepis angin, jeling mata dan lain-lain yang pernah saya diajar (tapi masih diingati dan diamalkan sebagai nostalgia).

Kepada yang membaca, jangan cemburu dan jangan risau, kerana hasil kajian bertahun guru Azlan melahirkan Senaman Tua yang jauh lebih mudah dan jauh lebih bermanfaat daripada apa yang saya dapat dahulu. Tujuan dipermudahkan adalah supaya lebih ramai mendapat manfaat lebih laju daripada mengamalkan benda yang renyah dan sukar. Apapun, koleksi lama itu masih ada. Minta sahaja kepada yang memegang amanahnya.

Minatku kepada silat membenamkan minatku pada senaman. Malah, dahulu pun tidak nampak kepentingannya. Tetapi, lama-kelamaan, kelemahan diri yang tidak amanah pada diri, keluarga dan sahabat, ditambah pula dengan alam silat yang dipenuhi politik kotor dan caci mencaci, membuatkan saya melangkah solo.

Bersambung...

16 Mei 2010

13 Mei 2010

Nafas Melayu: Key to locked doors

Several years ago, I was triply privileged to work at SENI BELADIRI magazine. The triple privileges were the fact that the founder and managing editor of the magazine, guru Azlan Ghanie, was also the founder of Silat Melayu Keris Lok 9 and Senaman Tua.
During those amazing years, I felt like a live-in student, and if there was ever any martial art that was deeply imprinted onto my psyche and neurological system, it would have to be Lok 9. Senaman Tua was a second bonus, and since both of them shared the same root and founder, it made both easier to learn (Working at the magazine was the third, since I was academically trained as a journalist).
Of the many things within my studies, I have found that there are two key methods that underlie both systems: Nafas Melayu and Tapak 9. As guru Azlan explored Lok 9 on a monthly basis in the magazine, I began to worry that he might eventually publish what I jealously regarded as the core of his system.
I selfishly asked that if he wanted to share Lok 9 on paper, that he avoid revealing these two outside of teaching it personally in class, to avoid it being 'stolen' by others. For awhile, he seemed to agree with the request, but later on decided that it belonged to everyone who wanted to learn it and published both of them in full glorious detail in his gem of a book, entitled Senaman Tua (Melayu). Since then, people have sat up and taken notice.
Among the two, the more practically interesting one is Nafas Melayu, simply because it provides a very effective method to focus breathing for a variety of purposes. I have studied a few other breathing methods, but none so far as comprehensive as this.
I don't intend to teach Nafas Melayu in this article, nor explain it too deeply, for fear that someone might practice it incorrectly. I only want to share in the ways that Nafas Melayu has helped in my life. Thus, I reserve the right to absolve myself of all responsibility.
Nafas and muscle groups
The Nafas involves inhaling deeply and compressing the abdominals as if you were doing crunches while standing. Immediately apparent is the posture-correction that happens. There are two key muscle groups involved in this: the transverse abdominus (TA) and the erector spinae (ES).
The erector spinae are located at the lower back while the TA wraps around the lower abdomen in a tube-like shape. For many years, sports scientists disregarded the function of the TA and only recently realised its role in keeping the back straight. Unfortunately, when the abdominals become weak, it puts pressure on the the ES and causes lower back pain. Therefore, good posture doesn't actually come from the back, but from exercising the TA via the Nafas.
I was unaware of the role TA played until it was brought to my attention by Mohamed Azlan Zain, one of the few ST instructors who has an ACE (American Certificate of Exercise).
Increasing capacity
The breathing mechanism of the lungs also incorporate the ability to increase in size and absorption rate depending on the environment and condition of the body. For example, a child who grows up in high altitude has to extract more oxygen from the thin air than his brethren who live further down. His lungs first adapt, increasing in capacity, later in the ability to absorb more and more oxygen from the air, in order to meet his body's needs.
Pesilat who can only train close to sea level, simulate this by practising holding their breath for extended periods of time under water, breathing while running or as in the case of Lok 9 and Senaman Tua, holding the breath compressed in the lungs while performing a set of bunga or a wardance.
In reality, this method is dangerous and can cause many physiological problems including rupturing blood vessels, damage to the lungs, brain cell death and many others. There is strong scientific research against breath holding and I greatly recommend that anyone who wants to learn this, properly train with qualified instructors.
The traditional Nafas Melayu is taught in staggered stages over a period of six months before progressing and many pesilat don't even get that far. It is definitely not a rushed process.
The first time I learned Nafas Melayu, I was surprised by its simplicity and wondered if it was everything it claimed to be. Unfortunately, I was a lazy student and didn't practise it much. I realised much later, that if you wanted to learn to swim, you needed to be thrown in the water.
Over the next several years, I was provided opportunities to put Nafas Melayu to work. When I started becoming involved in physical fitness training with a local wellness company, I was pleasantly surprised to discover the link between glucose and cholesterol levels caused by stress and breathing.
Fight or Flight
I decided to research deeper into the matter and found that Nafas Melayu provided a powerful stress buster compared to other breathing methods. The more traditional Oriental breathing called for inhalation and expansion of the abdominal (stomach) muscles while Nafas Melayu called for a contraction, a totally inverse reaction. I soon discovered why.
Oriental breathing aims for calmness by relaxing the body, breathing in slowly and exhaling slowly. This helps to relax the body and mind. Unfortunately, when faced with a perilous situation, the body experiences panic and unlocks the Fight-or-Flight mechanism, which increases the heart rate, dumps glucose and adrenaline into the blood stream, dilates the pupils of the eyes (creating tunnel vision) and more. This causes the body to go on a high state of alert.
One of the key responses of the body is that the stomach suddenly contracts, in Melayu, called kecut perut, or a sudden abdominal contraction that indicates fright, fear, surprise or shock. In reality, it is a totally physiological response, not an emotional one. But it could be, if we allow it to.
Because of the speed of this reaction, relaxation breathing techniques are pretty much useless, unless you have time to avoid and oncoming truck. The sudden contraction prepares your body for action, a sort of spring load that is ready to be channeled to the rest of the body.
Now, when you practice purposely contracting in Nafas Melayu, you gain greater control in separating the emotional reaction from the physiological reaction, and the more familiarity you have in using it, the easier your body and mind will recognise that it is a signal for you to take action.
Fight-or-Flight also causes two related problems: it drains blood away from the brain and into the body and it causes hearing to shut down and tunnel vision. The biological need is apparent. It allows you to focus your brute strength on one target and shuts out other irrelevant stimulus, but in a pesilat, the decision making process needs more oxygen and blood to the brain and sharp sense provide more options. Nafas Melayu takes care of both of this as it returns control to the brain.
Physical/ psychological reeducation
The one thing that surprises almost everyone who comes into contact with ST is how much of a physical reeducation system it is. By this, I mean that ST is not just an 'exercise' in the modern sense of the word, but it encapsulates everything good about the physical training of silat.
Moshe Feldenkrais, the founder of the Feldenkrais Method of physical reeducation was of the opinion that the adult human has been modified so many times by social pressure that they no longer walk, talk, act and breathe the way they naturally should. He believed that by reeducating the physique, you could potentially modify the psychological self-image and return it to its natural state. This is also true for ST.
For many years, I chimed guru Azlan's idea that ST was a way to return to one's natural physique. It didn't occur to me how true this was until many years later. When taught in class, the physical/ physiological benefits are apparent. But when you have those quiet moments with the exercises, you are able to work through what is truly part of you and what isn't.
The Nafas plays a guiding role for the body to identify what is right and what is wrong about your current physical makeup. It allows the correct tendons to tear and heal itself, and it tells you when you're in your danger zone. The only difficulty that many will face in doing this, is to cultivate a listening ear to actually hear it speaking to you.
More than can be said
In reality, there is too much left unsaid about ST, and every instructor will give you a different view from different experiences. As for me, Nafas Melayu has allowed me to be acquainted with myself, both physically and physiologically. At times, what it has shown me was shocking and other times, comforting.
It's been a long 13 year journey, but I'm glad to see that I am now part of a larger community of practice. Hopefully, it keeps growing, and more people gain benefit from this effort.
Original Article by Mohd Nadzrin Wahab