Ramai orang mengenali guru Azlan Ghanie sebagai pengasas Silat Melayu Keris Lok 9 dan juga Senaman Tua, tapi lama-kelamaan sudah muncul pertanyaan daripada pengamal: Apa kaitannya Lok 9 dan ST?
Jawapan mudahnya: Azlan Ghanie adalah Lok 9 dan Lok 9 adalah ST dan ST adalah Azlan Ghanie.
Untuk menceraikan antara satu dengan yang lain agak sukar. Disebabkan itulah pengasas-pengasas kaedah di Barat sering mengambil nama sendiri sebagai kaedah tersebut.
Alexander Technique diasaskan F. Matthias Alexander, Feldenkrais Method diasaskan Moshe Feldenkrais, Pasteurisation diasaskan Louis Pasteur. Bukannya kerana menimbulkan riak, tetapi mereka sedar, betapa rapatnya kaitan kaedah itu dengan pengalaman hidup, ilmu dan perwatakan mereka.
Namun, orang Timur lebih malu mengaku sebegitu, maka jarang sekali kita dapati sejenis silat dinamakan sendiri oleh pengasasnya dengan namanya, atau sesebuah tariqat dinamakan sendiri pengasasnya. Mungkin juga, tren itu semakin berubah.
Maka, pada saya, tidaklah salah jika kita namakan Senaman Azlan, kerana segala apa yang kita tuntut, adalah sulingan daripada ilmu, pengalaman dan kajian guru Azlan sepanjang 50 lebih tahun hidup di muka bumi.
Kita hanya menagih ilmu secara percuma tanpa perlu mengharungi zaman badan kering kurang dari 50kg, sakit-sakit, pengalaman bermain pelbagai jenis sukan, dilanda strok selama beberapa tahun, kehilangan punca rezeki, dicuba guru silat dan beladiri lain secara zahir dan batin dan entah apa-apa lagi yang tidak diberitahu kepada kita.
Jika ada yang terdetik, apakah ini artikel memuji guru Azlan? Inilah kebenarannya. Beliau tidak memerlukan pujian daripada kita. Sultan dan ulama sendiri sudah memujinya. Artikel ini adalah artikel menyedarkan, kepada kami yang tidak tahu menghargai ilmu yang disampaikan beliau, kadangkala secara percuma, dan jika ada yang tidak tahu pengorbanan yang dilakukan, bacalah.
Ilmu silat diri dan keluarga disimpan rapi, dan diajar percuma kepada sesiapa yang menuntut daripadanya, ketika zaman majalah PENDEKAR, majalah SENI BELADIRI: orang biasa, guru silat, pesilat olahraga negara, polis, tentera, pengawal peribadi, ulama, peniaga, ahli politik dan ramai lagi.
Tetapi, bila semakin ramai yang meminta (termasuk guru silat lain yang menggalakkan), guru Azlan bagaikan 'terpaksa' menzahirkan Silat Melayu Keris Lok 9 buat umum, padahal itu ibarat perbuatan menelanjangkan diri. Mengadakan kelas silat mengambil masa daripada pencarian rezeki dan keluarganya. Ketika itu, maklum sahaja guru silat tiada yang kaya dengan silat. Ini pengorbanan pertamanya.
Punyalah menarik ilmu dalam diri guru Azlan ini, hinggakan ada orang yang tertarik hanya kepada beberapa bahagian sahaja dan nak menuntut yang itu sahaja. Ada jurulatih yang berkata, silat saya tiada permainan keris. Bolehkah saya serapkan kaedah Lok 9 dalam mengajar murid saya? Guru Azlan setuju.
Maka, dibukakan kepada umum buat pertama kali di Hotel Vistana pada 2 Februari 2002 semasa Seminar Antarabangsa Pertama Keris Melayu di mana ilmu permainan keris diajar terbuka tanpa perlu menjadi ahli Lok 9 dan diulangi pada tahun seterusnya. Pengorbanan kedua.
Kemudian, timbul pula minat pesilat untuk belajar Senaman Tua sahaja, padahal bagi pesilat Lok 9 yang awal, tiada perbezaan ST dan Lok 9. ST adalah pemanas badan untuk melakukan gerak silat. Maka, gerak silat sudah terlatih semasa bersenam. Ada yang mencadangkan agar diasingkan dan diajar sehingga ke tahap jurulatih untuk diserapkan ke dalam silat berlainan. Adakah bapa yang sanggup berkongsikan anaknya kepada umum? Adakah guru silat yang sanggup berkongsikan ilmunya menjadi hak awam?
Pada awal Jun 2003 diadakan untuk lebih 30 peserta, kursus kejurulatihan Senaman Tua yang melayakkan mereka mengajar ST di mana-mana di Malaysia. Tiada royalti dikenakan. Apa yuran dikenakan, terpulang kepada mereka. Mereka hanya tidak dibenarkan menukar nama ST, atau menyalahgunakan logo ST. Pengorbanan ketiga.
Sehingga kini, guru Azlan masih turun padang, dan sendiri mengajarkan ST kepada umum, padahal jurulatih di kawasan itu sendiri boleh saja melakukannya. Tapi mereka tetap memanggilnya turun.
Mereka yang hanya belajar ST akan mendapat satu kekuatan, kefahaman dan kecergasan yang mungkin tidak pernah dialami, lagi-lagi jika tidak pernah menuntut silat. Tetapi, bagi pesilat Lok 9, mereka lebih memahami asal usul ST dan kaitannya dengan Lok 9, kelebihannya, kegunaannya dan kemahirannya. Pendek kata, jika menuntut ST, akan dapat satu. Jika menuntut Lok 9, akan dapat semua.
Jadi, apa kaitannya antara Lok 9 dan ST? Tiada kaitan, kerana ia sememangnya tidak berpisah, ibarat bunga dan buah yang dilahirkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan