Tahun 2010 nampaknya adalah tahun keramat bagi Senaman Tua. Walaupun kursus yang melahirkan jurulatih terkini baru sahaja diadakan pada bulan April, tetapi sudah ada satu lagi kursus dicadangkan untuk bulan Jun pula, dianjurkan Yayasan Restu. Satu perkembangan yang cukup baik, dan cukup mengharukan.
Perkembangan inilah antara sebab saya mula menarikan jari kembali untuk blog Senaman Tua: Khazanah Kecergasan Melayu. Melihat semakin ramai jurulatih mengisi kekosongan senaman Melayu di tanahair, dan semakin banyak blog dan laman facebook yang diasaskan semata-mata mempromosikan ST, membuatkan saya teringin juga melangkah bersama, takut tertinggal di belakang.
Bagi mereka yang baru hendak berjinak dengan ST, ketahuilah, perjalanan untuk sampai ke sini buat guru Azlan Ghanie bukanlah mudah, malah pernah beberapa kali beliau terdetik untuk meninggalkan sahaja dunia persilatan Melayu, dek suara-suara dan tindakan mereka yang tidak faham kepada perjuangannya.
Saya pula, seorang pengamal ST yang sudah lama meninggalkan mainstream ST itu sendiri, tetapi masih mengamal (sedikit sebanyak) dan menyebarkan sekadar termampu apa yang ditimba beberapa tahun dahulu. Ketidakdayatahanan saya kepada cubaan perjuangan membuatkan saya memilih untuk berjuang dengan cara lain dan melangkah mengikut rentak sendiri.
Bagi mereka yang tahu, sebelum saya mengenali ST, atau Lok 9 atau SB, saya mengenali guru Azlan terlebih dahulu. Tahun 1997, saya duduk dibelanja teh tarik oleh beliau ketika bertemu di Bangsar, ketika sama-sama menghadiri kejuaraan tempur gaya bebas Typhoon Ninja Kung Fu. Saya sebagai penonton, beliau sebagai wartawan.
Dalam berbicara, beliau mengetahui minat saya terhadap penulisan dan silat, satu hubungan pertama yang kami jalinkan. Beliau wartawan dan pesilat berpengalaman dan saya, makhluk hingusan yang masih mengelap hidungnya ke hari ini. Hati saya terpaut habis dengan kerjaya di SENI BELADIRI.
Maka, bila ada masa, bertandanglah makhluk ini ke pejabat SB, membuat sedikit sebanyak kerja bantuan kewartawanan, termasuklah membeli kopi, sambil menimba pengalaman silat dan penulisan.
Guru Azlan tiada mengajar kelas formal silat, malah nama silat pun belum ada, malah silat dan senaman juga belum jelas perbezaannya pada saya. Tapi, beliau tidak pernah lokek ilmu. Punyalah lurus orangnya, tidak pun ditanya, tapi diajar saja. Percuma diberi, tanpa ditanya hendak dibuat apa dengan ilmunya.
Bertahun saya dengannya, nampak orang mengambil kesempatan ke atas kebaikan hatinya. Manusia tidak sempurna sifatnya. Benar. Guru Azlan juga ada keburukannya. Pada saya, keburukannya yang paling buruk, ialah kebaikan hatinya.
Tapi, akhirnya, atas nasihat ramai sahabat dan guru silat, guru Azlan meletakkan harga pada ilmunya. Biarlah orang tuduh beliau menjual silat. Tapi disebabkan harga itu, martabat silat naik mendadak. Hakikatnya, jika pandai mengenen dan pandai mengambil hatinya, hingga ke hari ini, ringan sahaja beliau menurunkan ilmu tanpa sesen dituntut.
Kelahiran Senaman Tua sebagai satu entiti khusus sebenarnya jauh mengawali Silat Melayu Keris Lok 9. Ini kerana, jika diselak majalah PENDEKAR bertahun lamanya, sudah ada kolum "Senaman Tua" yang dimulakan dengan Tari Tangan. Ahli Lok 9 tentu kenal tari tangan itu, kerana itulah ibu yang melahirkan ibu yang mereka gunakan sekarang.
Senaman-senaman awal yang diberikan guru Azlan begitu tinggi geraknya, akal yang dangkal ini tidak dapat menangkapnya. Malang sekali buat kita, kerana guru Azlan terpaksa memudahkan senaman itu untuk kami mudah faham. Maka hilanglah senaman-senaman dragonball, tepis angin, jeling mata dan lain-lain yang pernah saya diajar (tapi masih diingati dan diamalkan sebagai nostalgia).
Kepada yang membaca, jangan cemburu dan jangan risau, kerana hasil kajian bertahun guru Azlan melahirkan Senaman Tua yang jauh lebih mudah dan jauh lebih bermanfaat daripada apa yang saya dapat dahulu. Tujuan dipermudahkan adalah supaya lebih ramai mendapat manfaat lebih laju daripada mengamalkan benda yang renyah dan sukar. Apapun, koleksi lama itu masih ada. Minta sahaja kepada yang memegang amanahnya.
Minatku kepada silat membenamkan minatku pada senaman. Malah, dahulu pun tidak nampak kepentingannya. Tetapi, lama-kelamaan, kelemahan diri yang tidak amanah pada diri, keluarga dan sahabat, ditambah pula dengan alam silat yang dipenuhi politik kotor dan caci mencaci, membuatkan saya melangkah solo.
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan