28 Mei 2010

Langkah Senamku 2: Melayu masih malu

Semasa membantu mempromosi Senaman Tua antara tahun 1997-2004 bersama guru Azlan Ghanie, dalam sedar atau tidak, saya seringkali memainkan peranan 'orang muda', berpasangan dengan watak 'orang tua' beliau.

Apabila memperkenalkan ST kepada orang yang belum atau baru hendak berkenalan dengannya, saya yang cepat naik angin manakala guru Azlan yang sentiasa 'cool' menangani keadaan.

Jika satu pagi, guru Azlan berkata: "Nadzrin, kita ke kementerian, ada peluang sampaikan cerita ST", saya sudah tahu, hati saya takkan tenteram. Ini kerana, sudah pasti, bila menyebut sahaja nama ilmu yang dibawa, bermacam ragam mimik muka dan ayat akan keluar.

"Eh, Senaman Tua? Tak naklah, nanti jadi tua"

"Hahaha ... senaman untuk orang tua ke?"

"Saya muda lagi bang ... hehehe"

"Wah, bahaya tu ... tua-tua pun boleh bersenam ke?"

dan, yang paling menyiat jiwa, tiada kata-kata disampaikan, hanya:

"Wahahahahahahahahaha!"

Sayalah, ketika itu menahan telapak daripada hinggap di muka manusia yang tidak sedar diri, dan guru Azlan hanya tersenyum sinis.

Senaman. Tua.

Aduh.

Pernah ada antara manusia yang menerima konsep ST, tetapi mencadangkan agar namanya diubah supaya lebih komersil. Antara yang paling menyakitkan jiwa saya: Senaman Perkasa, Senaman Jawi, Tramex (Traditional Malay Exercise) dan banyak lagilah.

Malah, guru Azlan juga pernah sekali dua menyatakan hendak mengubah namanya. Saya tidak tahu, adakah ketika itu beliau melawak sedih, atau benar-benar serius. Tapi, saya tegas menyatakan, jangan sesiapa sewenang-wenangnya mengubah namanya, melainkan guru Azlan sendiri memutuskan, barulah saya akan akur.

Saya sedih, dan bertanya, apakah puncanya orang Melayu begini? Dalam berfikir dan bertanya, akhirnya saya terjumpa jawapannya.

Jawapannya bukan semudah "Orang Melayu tidak percaya pada ilmu orang Melayu sendiri", kerana buku-buku senaman Melayu banyak dihormati dan dibaca oleh peminat-peminatnya. Rupa-rupanya, masalah yang ada jauh lebih mendalam. Orang Melayu sudah rosak akhlaknya, pincang hormatnya, dan gagal jatidirinya.

Dalam menghormati orang tua.

Pandangan Barat kepada tua: Useless, underperforming, decrepit, past their prime, burden, over the hill dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut menjadi tua. Pandangan Timur kepada tua: Bijaksana, berilmu, makan garam terlebih dahulu, kail berjengkal-jengkal. Lebih tua, lebih dihormati.

Namun, kehadiran Facebook, ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran, kehidupan di Kuala Lumpur dan pelbagai lagi kecanggihan orang muda membuktikan kepada mereka, bahawa, orang tua sebenarnya tidaklah sepandai yang disangka, dan nilainya jauh lebih rendah daripada diri aku. Orang kampung. Apa mereka tahu?

Kajian sayamendapati nama Senaman Tua yang diberi guru Azlan, mempunyai makna yang cukup mendalam, biarpun ST atau nama asalnya, Senaman Petua. Perkataan Tua berasal dari bahasa Sanskrit dan berbentuk Tuha yang membawa maksud Utama.

Maka dari keutamaan perkataan itulah lahirnya perkataan Tuhan, Tuan, Pengetua, Ketua, Ketuanan, Orang Tua-Tua (bijak pandai) dan pelbagai lagi variasinya. Ini membuktikan, orang dahulu meninggikan orang tua dan ilmu yang mereka timba, amal dan wariskan.

Petua pula adalah lidahan Melayu ke atas perkataan Fatwa yang bermaksud pendapat atau keputusan. Fatwa dikeluarkan seorang yang alim dalam Fiqh dan berbentuk satu suruhan, keizinan atau larangan kepada masyarakat atau orang perseorangan sebagai keputusan ilmunya. Mereka yang mengamalkan sesuatu fatwa hanya bertaqlid kepada alim itu tanpa perlu mempelajari fiqh bertahun-tahun sepertimana beliau.

Petua pula adalah kesimpulan atau keputusan ilmu orang tua yang disampaikan kepada orang muda tanpa perlu mempelajari atau melalui apa yang dialami beliau sepanjang hidupnya. Orang moden menggelarnya tips atau best practices kerana ia adalah hasil pengalaman kepakaran dalam satu-satu bidang.

Oleh itu, Senaman Tua/ Petua membawa maksud senaman yang bersandarkan kesimpulan ilmu orang dahulu yang utama, the core, bukan yang sampingan. Inilah kepercayaan saya.

Maka, apabila orang Melayu sendiri ketawa mendengar perkataan tua dan terbayangkan seorang tua yang bodoh tak reti main facebook, kerepot ilmu laptop dan nyanyuk baling ubat gegat (sila rujuk filem Main-Main Hantu, 1990), maka saksikanlah mereka membuka kebodohan dan kedangkalan diri sendiri kerana menghilangkan hormat kepada ibubapa mereka sendiri dan masyarakat tua sekeliling.

Bukankah ini salah satu tanda kiamat?

Kini, ST sudah berkembang jauh, dan hormat itu semakin ada, tetapi jurulatih ST seluruh Malaysia masih menghadapi orang yang berfikiran sama. Tidak apa. Berjuanglah. InsyaAllah berjaya.

Saya pula?

Jawapan yang kini saya berikan, tatkala berhadapan dengan makhluk yang mentertawakan Senaman Tua: "Ya, hanya orang tua boleh belajar, kerana orang muda belum tentu mampu melakukannya".

Telapak tangan saya masih ringan, menunggu masa melepaskan geramnya.

Bersambung...

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

Tiada ulasan: