Sepanjang pengalaman saya, ramai pengamal dan guru cuba menafsir makna Silat buat kefahaman saya. Antaranya, ada yang menafsir secara kaedah, ada yang menafsir secara falsafah, malah ada yang menafsir secara kerohanian.
Sudah tentu, setiap orang yang melalui ‘jalan’ silat, akan menimba pengalaman dan pengetahuan yang berlainan, menyebabkan mereka memberi tumpuan yang berlainan terhadap silat.
Sebahagiannya bermula dari istilah silat sendiri dengan menurunkannya daripada ilat, elat atau silat, silap, silau atau si kilat atau silah (perkataan Arab bermaksud hubungan). Setiap satu daripada penghuraian ini mempunyai sebab musabab dan bukti-hujahnya yang tersendiri.
Jauh sekali bagi saya menidakkan atau menyalahkan penjelasan guru-guru ini yang berdasarkan pengalaman bertahun dan suluhan rohani yang mendalam. Namun, izinkanlah jika saya turut menurunkan sedikit daripada pengalaman saya mengenai silat.
Pada saya, silat lahirnya daripada petua. Mungkin ramai yang pernah mendengar kata-kata sebegini. Yang sering menjadi masalah apabila cuba menghuraikan, apa itu petua? Satu waktu dahulu, saya turut keliru, tetapi apabila sendiri yang merasa, barulah diketahui betapa sukarnya menyampaikannya dengan tepat.
Terkenang pula kata-kata seorang guru, manisnya gula takkan dirasa selagi belum dikecapi, maka seninya silat juga takkan difaham selagi tidak dialami. Namun, saya akan cuba juga sedaya yang mungkin.
Dalam penulisan ini, istilah ilmu (sebagai ganti kata ‘pengetahuan’) dan petua akan diguna bagi membezakan antara yang banyak dan yang sedikit. Jika ilmu merupakan sesuatu yang terpahat, tersurat dan terluah, maka petua itu pula tersimpan, tersirat dan terdiam.
Maka, bagi mana-mana buku yang dinukil, tajuk yang disyarah dan ilham yang disebut, itulah ilmu, kerana ia lahir mengikut keadaan dan terikat dengan syarat-syarat kelahirannya. Dalam keadaan itulah, beratus-ratus buku ditulis oleh seorang guru. Maka, bukanlah buku yang berilmu melainkan guru itulah sebenar petuanya.
Jadi persoalannya, berpegang pada buku atau guru? Berpaut pada ilmu atau petua?
Dalam persoalan gerak fizikal silat pula, sudah tentu yang banyak itulah terbitan, yang ilmu. Maknanya, yang banyak mestilah terbit daripada yang sedikit, atau terasnya. Keadaan begini, manakah lebih penting, yang teras atau yang terbit?
Memanjangkan dari contoh awal tadi, gerakan-gerakan silat lahir mengikut keadaan tempur yang muncul. Jika diserang dari kanan, begini. Jika dari kiri, begini. Jika berkeris, begini. Jika bertongkat, begini… Sudah tentu, setiap satu contoh yang diterbitkan oleh guru itu berdasarkan satu teras yang dipegang. Itulah petua.
Malangnya, yang sering terjadi di kalangan murid, ilmu digenggam kemas hingga petua dicampak ke tepi jalan. Hendak dibezakan mana yang gantang dan mana yang cupak pun menjadi sukar. Maka, direkod segala terbitan hingga itulah yang menjadi SILAT, padahal asalnya ialah dari petua dan murid hanya berulanglatih buah-buah (anak-anaknya) tanpa memahami petua (ibubapa) yang melahirkannya.
Persoalan kedua, jika ilmu lahir dari petua, maka petua lahir daripada mana? Di sinilah yang jelas menjadi kabur. Jika hendak diterangkan juga, maka mudahlah dikatakan petua itu lahir daripada guru. Guru yang telah berusaha belajar, mengkaji, menyesuai dan akhirnya diberi hidayah oleh Allah SWT untuk berjasa kepada hamba-hamba-Nya dengan menyampaikan ilmu kepada mereka.
Ada ‘petua’ yang tidak dapat dizahirkan, atas sebab ia tidak mampu diberi bentuk yang khusus tanpa meninggalkan bahagian-bahagian kefahaman yang penting, walaupun ia kecil. Namun, ada pula dalam silat yang mampu dibayangkan dan dinamakan. Dalam jenis ini termasuklah petua Lam Alif, Mata Angin (atau Lapan Penjuru Angin Bermata Satu) dan Jantan-Betina.
Dinamakan mudah, diceritakan susah.
Petua tidak seperti ilmu kerana petua sebagai panduan manakala ilmu sebagai kenangan. Apabila berhadapan dengan lawan, maka gerak lawan menghidupkan petua yang dipegang dan reaksi petua terhadap gerak itu, jika dikenang, dicatat dan diajar kepada murid, itulah ilmu. Jika disusun rapi dan diulang latih, maka jadilah ia sukatan pelajaran (silibus). Namun, petua tetap hidup untuk berhadapan dengan situasi-situasi lain, masih tersimpan di dada guru.
Antara kata-kata guru yang pernah saya timba, bila terkenang, membuat saya senyum sendiri.
Petua tidak diajar, tetapi disampai. Dengan hanya berkata tanpa menunjuk, guru mampu memindahkan petua secara tepat dan langsung tanpa apa-apa pengubahsuaian.
Juga, petua ibarat alat pemerah oren yang mana apabila bertemu oren dan alat, baru patinya keluar menjadi manfaat. Alat itu tidak berubah bentuk, tetapi oren itu kini sudah terhurai.
Petua itu merupakan hasil kajian guru yang berasal dari perkataan Fatwa (pendapat). Apabila seorang ulama mengkaji keadaan yang menimpa umat Islam, ia memberi kesimpulan yang boleh dipakai dalam semua keadaan yang sejenisnya. Dia tidak mengajar segala cabang-cabang ilmu fekah yang berkaitan.
Tegasnya, petua itu mudah dipegang, sukar pula difahami atau dihuraikan melainkan seseorang itu sudahpun mula mempunyai ciri-ciri guru. Ilmu itu mudah pelajari, tetapi tanpa petua, ia hanya menjadi ulangan pada lidah dan minda.
Belajarlah ilmu, tapi tuntutlah petua. Biarlah ilmu menjadi kenangan, tetapi petua menjadi pegangan. Wallahua’lam.
Artikel ini pernah diterbitkan dalam majalah SENI BELADIRI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan