06 Jun 2010

Bagaimana Jurulatih Senaman Tua Ditauliahkan

Sehingga kini, Senaman Tua sudah berkembang jauh dan mempunyai jurulatih dan tenaga pengajar yang mengasaskan kelas latihan di seluruh Malaysia. Tulisan ini menurunkan bagaimana jurulatih-jurulatih tersebut dihasilkan, status mereka di sisi pengurusan AGM Sdn Bhd dan apakah kaitan di antara mereka.

Sejarah Kejurulatihan Senaman Tua
Senaman Tua (ST) mula mendapat perhatian awal apabila pengasasnya, guru Azlan Ghanie menerbitkan beberapa senaman di dalam majalah PENDEKAR pada penghujung 1980an. Namun, pengunduran dirinya daripada penerbitan itu tidak lama selepas itu menghilangkan ST daripada pandangan pembaca.

Pada 1997, guru Azlan mula menerbitkan majalah SENI BELADIRI pula dan kali ini, satu ruangan khas, Senaman Tua, diwujudkan. Ia mendapat sambutan hangat, namun disebabkan ST diajar bersama-sama Silat Melayu Keris Lok 9, ahli-ahli silat lain tidak dapat menceburinya secara khusus. Atas sebab itulah, guru Azlan mengasingkan ST daripada Lok 9 dan menjadikannya satu entiti pelajarannya yang tersendiri.

Usaha terawal mengajar ST secara khusus ialah Kursus Asas Kecergasan & Senaman Tua, anjuran bersama Jalur Citranusa (M) Sdn Bhd dan Whyfit Sport Adventure Sdn Bhd. Selepas itu, barulah diadakan Seminar Senaman Tua.

Selain dari itu, juga terdapat siri seminar, kursus, bengkel atau sesi yang mengajar peserta sekadar menjadi pengamal ST dan sering diadakan di jabatan kerajaan dan badan-badan swasta.

Kursus Asas Kecergasan & Senaman Tua
Kursus ini diadakan pada tahun 2003 sebanyak dua siri dan melatih kira-kira 40 orang menjadi calon jurulatih. Kursus tersebut diadakan pada 27-29 Jun dan 5-7 September 2003. Ia dimudahcarakan oleh guru Azlan, Yazid Abdul Rani (pakar kecergasan) dan Eliza Hafiz (pakar kecederaan sukan). Syarat-syarat yang perlu dipatuhi ketika itu adalah membuka kelas masing-masing dan mengajar sejumlah 30 jam.

Seminar Senaman Tua
Seminar Senaman Tua diadakan selama dua hari berturut-turut dan mengandungi modul-modul Kecergasan dalam Senaman Tua, Senaman Asas Tahap 1, Latihan Dalam Kumpulan, Persembahan Berkumpulan dan Ujian Penilaian Jurulatih Bertauliah Senaman Tua.

ST juga diajar dalam bentuk seminar, kursus, bengkel dan sesi kepada peserta dari jabatan kerajaan, syarikat swasta atau pihak-pihak berminat secara khusus selama beberapa jam sahaja.

Jenis-Jenis Jurulatih Senaman Tua
Terdapat beberapa jenis jurulatih ST termasuklah:

  • Pengasas/ Pemegang Amanah Utama
  • Pemegang Amanah
  • Jurulatih Bertauliah
  • Calon Jurulatih
Carta di bawah menunjukkan hierarki jenis-jenis jurulatih dalam Senaman Tua:

Kini, juga terdapat Jurulatih Bertauliah yang juga adalah Pemegang Amanah, bergantung kepada hemat Pemegang Amanah Utama.

Silat Melayu Keris Lok 9
Guru Azlan Ghanie adalah Pengasas dan Pemegang Amanah Utama Silat Melayu Keris Lok 9 dan Senaman Tua. Lok 9 adalah silat keturunan guru Azlan dan mengandungi komponen Senaman Tua, Tari Pendekar, Tempur Tangan Kosong dan Tempur Bersenjata. Ia di bawah naungan Persatuan Silat Melayu Keris Lok 9.

Senaman Tua
Senaman Tua adalah komponen senaman yang dicabut daripada Lok 9 supaya dapat diajar kepada peminat senaman tanpa melalui kaedah bergelanggang Lok 9 dahulu. Namun, terdapat unsur-unsur dan kaitan rapat dengan Lok 9 dalam pelajarannya. Secara tidak langsung, pengamal Senaman Tua turut mempelajari asas-asas Lok 9. Ia dinaungi AGM Sdn Bhd.

Pemegang Amanah
Pemegang Amanah adalah jurulatih yang mengajar Silat Melayu Keris Lok 9. Mereka ditauliahkan oleh guru Azlan untuk mengajar kesemua komponen Lok 9 termasuklah Senaman Tua. Namun, mereka bukanlah Jurulatih Bertauliah selagi mereka belum melalui kaedah Seminar Senaman Tua dua hari.

Jurulatih Bertauliah (JBST)
Jurulatih Bertauliah adalah jurulatih yang melalui Seminar Senaman Tua selama dua hari dan menerima Sijil Mengajar dan Lesen Mengajar yang sah selama satu atau dua tahun.

Calon Jurulatih
Calon Jurulatih adalah jurulatih yang melalui Kursus Asas Kecergasan & Senaman Tua Siri 1/03 dan 2/03 yang diadakan di Whyfit Sport Adventure, Pusat Bandar Damansara dan Pusat Latihan Utama Senaman Tua di Setapak, Kuala Lumpur.

Pengamal
Di bawah setiap daripada tiga jenis jurulatih ini adalah pengamal yang tidak ditauliahkan mahupun diberikan keizinan rasmi mengajar kepada sesiapa.

Proses Pentauliahan JBST
Terdapat tiga cara seorang Pengamal, Pemegang Amanah atau Calon Jurulatih dianugerahkan tauliah sebagai Jurulatih Bertauliah Senaman Tua (JBST):

  • Seminar Senaman Tua
  • Ujian Penilaian Jurulatih Bertauliah Senaman Tua
  • Ehsan Pemegang Amanah Utama
Carta di bawah menunjukkan proses mendapat tauliah sebagai Jurulatih Bertauliah.


Seminar Senaman Tua
Seminar Senaman Tua diadakan selama dua hari berturut-turut dan mengandungi modul-modul Kecergasan dalam Senaman Tua, Senaman Asas Tahap 1, Latihan Dalam Kumpulan, Persembahan Berkumpulan dan Ujian Penilaian Jurulatih Bertauliah Senaman Tua.

Ujian Penilaian Jurulatih Bertauliah Senaman Tua (UPJBST)
UPJBST adalah ujian penilaian yang diadakan bagi Pemegang Amanah Silat Melayu Keris Lok 9 dan Pengamal yang sudah menuntut melepasi ujian Lok 5 dalam pelajaran Lok 9.

Ujian ini antaranya menguji kemahiran mengajar Senaman Tua dan peserta digalakkan menghadiri Seminar Senaman Tua pada hari kedua bagi mendapat pengalaman tambahan.

Ehsan Pemegang Amanah Utama
Dalam beberapa kes khas, seseorang dapat dianugerahkan tauliah Jurulatih Bertauliah secara automatik tanpa melalui sistem seminar mahupun ujian oleh Pemegang Amanah Utama, guru Azlan Ghanie.

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

Tiada ulasan: