Sukatan pelajaran ST boleh dibahagikan beberapa cara. Ia boleh diasingkan mengikut anggota badan yang disenamkan atau mengikut kedudukan badan ketika bersenam.
Jika kita kategorikan menurut anggota, maka mudah dikatakan ada 5: senaman Tapak, Lutut, Pinggang, Tangan dan Kepala. Tetapi jika menurut kedudukan, boleh dikategorikan sebagai 4: Berdiri, Duduk, Baring dan Melangkah.
Pada saya, kategori yang lebih elok digunakan adalah Empat Kedudukan. Apabila menyebut kepada pengamal, "Kita mulakan dengan senaman berdiri diikuti senaman duduk..." ia menerapkan pemeringkatan dalam pemikiran pengamal supaya mereka mudah mengikuti kelas dan mengamal di rumah.
Bukan hanya membantu pengamal memahami prosesnya tetapi juga memudahkan jurulatih menggunakannya sebagai rangka mengajar.
Setiap satu kedudukan ini mempunyai gugusan senaman yang khusus bagi setiap anggota badan dan sesuai diamalkan dalam semua keadaan lantai.
Namun, kadangkala kita tidak dapat menyampai kesemua sukatan kepada pengamal dalam satu sesi. Saya pernah beberapa kali memimpin sesi Senaman Tua di mana pengamal terpaksa bersenam di atas jalan tar atau di kawasan luar di mana duduk atau berbaring tidak sesuai. Maka, saya hanya melakukan set senaman berdiri dan melangkah dan itu sudah cukup memberi rasa kepada mereka, walaupun tidak merasai keseluruhan senaman ST.
Pernah juga, ketika memimpin kelas buat perkumpulan ustazah Taska, saya berniat melakukan senaman berdiri supaya tidak mendatangkan aib pada mereka. Nyata, tanggapan saya silap, kerana mereka cukup sporting meminta saya memimpin sehingga ke duduk dan baring. Saya pula yang menjadi malu.
Senaman Berdiri rata-rata adalah pecahan dan pengubahan tumpuan anggota daripada Tapak 9. Setiap satu senaman dalam set itu sedikit sebanyak mengulangi dan melatih Tapak 9 secara langsung dan tidak langsung.
Senaman Duduk pula tidak mengandungi banyak senaman kerana hanya memberi fokus kepada pinggang dan tulang belakang, yang agak sensitif kepada senaman kasar. Maka, diberikan sedikit dan berintensiti rendah. Lagipun, kebanyakan senaman postur sudah dilakukan ketika kedudukan Berdiri secara tidak langsung.
Senaman Baring mampu menyusahkan jurulatih kerana pengamal sering tertidur hasil kepenatan melakukan dua kedudukan sebelumnya. Ia juga tidak mengandungi banyak senaman disebabkan memberi fokus hanya kepada perut dan leher. Geliat Anak Harimau pula meregangkan kembali hampir kesemua otot yang disenamkan dalam ketiga-tiga kedudukan itu dan sebagai persediaan ke Melangkah.
Walaupun Senaman Melangkah dimulakan dengan set tangan, tetapi kekuatan tangan dan penjanaan tenaga dan impak ketika bersilat bergantung kepada tapak dan langkahan. Maka, di sini, dimulakan dengan meregangkan tangan dan melatih pengaliran gerak yang tidak putus dari bahu ke jari, dari pinggang ke bahu, dan dari tapak ke pinggang.
Apabila masuk ke Segerak Selangkah iaitu tari silat penuh, maka kesemua latihan tadi dimanfaatkan secara gerak yang tidak putus.
Di bawah adalah senarai ST Tahap 1 diasingkan kepada empat peringkat itu:
Berdiri
1. Nafas Melayu
2. Tapak 9
3. Jengket
4. Labuh Luar
5. Labuh Dalam
6. Temu Tempurung
7. Langkah Tari Inang
8. Gelek Pinggang
9. Naga Berlabuh
Duduk
10. Duduk Pendekar/ Bersila
11. Siku Sentuh Lutut
12. Renang
Baring
13. Tengok Ibu Jari
14. Tegang Pusat
15. Geliat Anak Harimau
Melangkah
16. Tangan Melayu (Gulung Ekor Naga)
17. Tangan Melayu (Panas Tapak Tangan)
18. Tangan Melayu (Gerak 9)
19. Tangan Melayu (Bunga Teratai)
20. Sampai Tangan
21. Bilas Tangan
22. Segerak Selangkah 1
23. Segerak Selangkah 2
24. Segerak Selangkah 3
25. Segerak Selangkah 4
26. Segerak Selangkah - Berpasangan
27. Segerak Selangkah - Dapat Bunga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan