Aduhai Silat. Bila membincangkan apa-apa perkara berkaitan pengaruh dan bangsa Melayu, tidak akan lekang dari perkara penyakit hasad dengki, tikam belakang, burukkan periuk nasi, fitnah, adu domba dan pelbagai lagi. Ada antara manusia membuat analisis:
"Ha, itulah orang silat"
"Ha, itulah orang politik"
"Ha, itulah orang Melayu"
Bagi saya yang mempelajari tabiat manusia secara khusus dari kecil hingga ke pengajian tinggi dan kini bertugas dalam bidang jatidiri di alam korporat, analisis saya ialah:
"Ha, itulah manusia".
Tetapi, sejak mendapat didikan agama daripada guruku, saya ubahkan menjadi:
"Ha, itulah manusia yang menurut nafsu".
Perhatikanlah waima dalam dunia silat, dunia taekwondo, dunia karate, dunia kali-eskrima, dunia BN, dunia PR, dunia Republican, dunia Democrat, dunia WWI, dunia WWII dan pelbagai lagi alam, sememangnya manusia melakukan fasad atas muka bumi.
Tiada kaitan langsung dengan silat apa atau bangsa apa yang dianggotai.
Namun, lazimnya apabila ada satu, mesti ada tandingannya, dan tandingan inilah yang membuatkan manusia bersaing. Jika sihat persaingannya, maka sihatlah emosinya, tapi kalau tidak sihat, maka keluarlah hasad dan dengkinya.
Di Malaysia, apabila kita mempromosi sejenis silat, lazimnya silat lain akan bangkit membela kawasannya. Masam muka. Marah dalam hati. Api dalam sekam. Jika buruk jadinya, gunting dalam lipatan.
Maka, bayangkan sahajalah sambutan masyarakat silat apabila guru Azlan Ghanie mengasaskan perguruannya sendiri dinamakan Silat Melayu Keris Lok 9. Pelbagai cercaan dan kutukan diterima. Guru Azlan bagaikan patah semangat. Beliau tidak faham kenapa tiada ruang untuknya berkongsi ilmu.
Tetapi, beliau gagahi jua. Hinggalah ditemui seorang insan bernama Yazid Abdul Rani. Yazid yang merupakan seorang perunding kecergasan, aerobik dan gimnastik untuk Kementerian Belia dan Sukan menghubungi guru Azlan, hendak bertemu.
Katanya, beliau sudah lama mengikuti SB dan meminati kolum Senaman Tua. Ia dalam bidangnya. Persahabatan terjalin dan persefahaman termeterai. Guru Azlan hanya senyum kerana pada masa itu, beliau masih tertanya, siapalah yang hendakkan silat dan senaman ini?
Yazid membantah. Katanya ST ini sempurna. Sehingga kini, guru Azlan tidak tahu apa maksud itu. Selepas itu, bukan satu-dua, tetapi ramai pakar kecergasan yang hadir memberi testimonial, melahirkan kehairanan. Kenapa ST tidak berada di luar sana? Kenapa masih tersembunyi?
Guru Azlan anggap itu semua sebagai pendapat masing-masing sahaja. Tidak mungkin orang ramai hendak belajar. Ia silat. Masakan boleh dipisahkan senaman daripada silat? Rosak dibuatnya nanti.
Tidak habis, datang pula pesilat memberitahu: guru kami tidak benarkan kami belajar silat lain, kami hanya mahu senaman. Bolehkah dipelajari berasingan?
Guru Azlan berfikir. Tentang adat. Tentang adab. Tentang pantang. Tentang larang. Tentang warisan. Tentang maslahat umum. Keputusan dibuat. Baiklah. Senaman Tua dikembangkan. Tapi hubungannya dengan silat jangan diputus. Itu sahaja syaratnya. Baju pengamal tetapi baju silat. Senaman terhujung tetap tari silat. Adab pengamal tetap adab silat.
Maka, atas persetujuan itu, lahirlah Kursus Asas Kecergasan & Senaman Tua Tahap 1 pada 4-6 Jun 2003 di WHYFIT Sport Adventure Gym di Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur. Itulah titik permulaan ST dibuka kepada umum dan memberi peranan kepada peserta sebagai calon jurulatih. Kursus ulangan diadakan 3 bulan kemudian pada 5-7 September.
Daripada kesemua peserta tadi, hanya beberapa yang masih aktif mengajar ST, manakala yang lain mengamal untuk diri dan keluarga sahaja. Saya nampak guru Azlan puas. Puas, kerana jika beliau tidak dapat diterima di alam persilatan, ST mampu melangkah lebih jauh dalam membantu masyarakat menyelesaikan masalah-masalah kesihatan yang semakin menular.
Tahun seterusnya, saya melangkah keluar dari SB mencari rezeki yang lebih untuk diri dan keluarga. Maka, tidak dapatlah saya mengikuti perjuangan bersama guru Azlan. Pernah saya katakan, saya tidak sekuat itu untuk menjejak pendekar.
Tanggal 1 Oktober 2005, hari yang sepatutnya kami ke Ipoh merisik dan meminang bakal isteri saya. Hari itu juga, ayahanda tercinta meninggal, akibat kegagalan buah pinggang, bertali daripada sakit jantung yang bertali daripada 20 tahun menderita kencing manis.
Saya kesal. Tiada jasa saya kepada ayahanda. Hendak beri ST? Saya masih budak, tidak mempercayai segala kelebihan silat dan ST. Malu hendak mengajar orang tua. Sedangkan doktor tidak dapat membantu, inikan anak hingusan. Walaupun saya ajarkan satu dua, tetapi keyakinan itu tiada. Saya kesal. Kesalnya hanya Allah yang mengetahui.
Beberapa minggu selepas itu, saya sms guru Azlan: "Saya nak bantu kembang ST. Tak nak kes ayah berulang lagi"
Guru Azlan sentiasa guru Azlan. Tidak pernah menolak, sentiasa tersenyum. Sentiasa menerima.
Hasil perbincangan dan persetujuan, saya mencadangkan agar setiap jurulatih diselia oleh sistem lesen tahunan. Dengan cara itu, kita akan tahu siapa jurulatih yang ada, mereka mudah berhubung dan kita pelihara rupabentuk dan kaedah ST.
Tanggal 24-25 Disember 2005, Seminar Senaman Tua diadakan bagi mentauliah Jurulatih Bertauliah Senaman Tua dan saya diberi penghormatan pada umur 28 tahun sebagai seorang penceramah dan jurulatih pentauliah di samping guru Azlan. Pelik bin Ajaib al-Hairan. Tetapi, itulah kepercayaan seorang guru. Padahal saya cukup menjadi urusetia sahaja.
Seminar ulangan diadakan pada 29-30 April tahun seterusnya.
Berbangga saya, kerana walaupun berceramah, tetapi turut mengambil sijil dan lesen. No lesen saya A030. Antara yang turut ditauliah, cikgu Aini dari UPM, cikgu Hisamuddin dari Melaka, cikgu Dicky Dzulkarnain dari Singapura, cikgu Khadijah, anak guru Dahlan Silat Setiabakti, cikgu Zony penulis buku Sains Kesyukuran, cikgu Nazif http://terataimelayu.blogspot.com, cikgu Ooi Wei Chee dari Kedah, cikgu Tan Juan Khee (sensei Tan) dari MAS dan cikgu Zulkipli Ismail dari Sarawak.
Namun, pada tahun 2006, saya mendapat kerja baru dan isteri baru, maka gelombang cabaran kedua datang menerjah, dan sekali lagi saya menyepikan diri dari ST dan guru Azlan. Di kawasan perumahan saya, saya membuka kelas sekadar 2-3 orang tetapi tidak bertahan lama. Ini kerana komitmen kerja dan keluarga saya agak menyukarkan saya mengendalikan kelas mingguan.
Barulah saya tahu, betapa sukarnya kehidupan guru Azlan. Selasa petang kelas di MAS Subang, Selasa malam kelas di Sg Buloh, Rabu tengah hari kelas di PERKESO Jalan Ampang, Rabu malam kelas di Setapak, Jumaat malam di PERKESO lagi. Bila masanya bekerja menerbit majalah dan berkeluarga? Hampir tiada. Kini sudah ada kelas di UPM dan KLCC. Guru Azlan masih turun secara peribadi untuk mengajar.
Jika mengajar, sudah tentu terpaksa bersenam juga. Manusia digalakkan bersenam secara intensif tiga kali seminggu selama 30 minit minima. Tetapi guru Azlan sudah melangkaui itu berkali ganda. Hampir setiap kali saya menelefonnya, beliau mengaku letih, tetapi masih bersemangat.
"Kenapa abang Lan buat macam ni pada diri?," tanya saya.
"Abang Lan kena buat. Sebab tak ada orang lain buat," jawabnya. Walaupun beliau tidak menyindir, tapi hati tetap terasa. Saya terdiam kerana memang tiada jawapan.
Hairan atas sikap membakar diri. Namun, ramai yang tidak mengetahui. Semasa menerbitkan SB dan mempromosikan ST, beliau pernah mendapat tawaran lumayan menjadi pembantu peribadi seorang ahli politik. Beliau tolak. Abangnya, Datuk Azman Ghanie, pemilik Kolej Shahputra juga menawarkannya gaji yang berganda untuk bekerja dengannya: "Tak payah pening kepala dengan majalah tu". Beliau ditawarkan jumlah yang besar untuk kembangkan ST di luar negara. Beliau tolak.
Mungkin selepas terbit artikel ini, beliau akan telefon saya. Saya bakal dimarahi. Biarlah. Kalau beliau tidak hendak beritahu, biarlah saya beritahu, betapa besarnya pengorbanannya buat silat.
Silat? Bukankah ini cerita senaman? Sudah mulakah kita melupakan asal-usulnya?
"orang Melayupun ada juga ya senaman sebegini hebat! tak sangka!"
"rupanya wujud gak senaman melayu nih yer...."
Ini antara komen-komen yang ada di internet yang mengembalikan orang Melayu kepada budayanya. Silat juga begitu. Apabila mereka mempelajari ST, mereka secara tidak langsung berjinak dengan silat, dan akhirnya berjinak kembali dengan budaya Melayu. Kelas UPM dahulunya memberi syarat ketat: "Kami nak belajar senaman saja tau. Silat tak nak"
Guru Azlan akur. Namun, semakin hari, semakin ada yang meminta hendak beli baju silat daripadanya. Tersenyum simpul orang tua itu. Kini, sudah menjadi lautan hitam. Dari ST ke Silat. Dari silat kepada diri.
Aduhai Silat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan