Selepas melangkah keluar dari majalah SENI BELADIRI pada tahun 2004, saya menyertai syarikat khidmat kecergasan Whyfit Sport Adventure Sdn Bhd, diasaskan Yazid Abdul Rani, juga seorang pengamal beladiri dan jurulatih Senaman Tua.
Langkah berniat mencari rezeki itu memperkenalkan saya kepada dunia latihan korporat. Whyfit dahulunya bermula sebagai pembekal khidmat jurulatih aerobik semata, tetapi atas kegigihan Yazid, ia berjaya menjadi pembekal program latihan kesihatan dan kecergasan terbesar kepada Petronas Malaysia.
Mereka menyampaikan ceramah mengenai pemeliharaan kesihatan diri (dan keluarga) di pejabat, pelbagai jenis penyakit hipokinetik, ergonomik (cara bekerja dengan sihat), pengurusan stres, senaman, pemakanan dan pengujian UKJK, Ujian Umur Fisiologi dan lain-lain.
Tugas penulis di situ lebih kepada pengurusan acara, penyediaan nota latihan, pemasaran program dan lain-lain. Namun, Yazid nampak ada peluang bagi saya terlibat dengan lebih mendalam, iaitu dalam bidang penceramahan.
Kebanyakan program buat Petronas menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu sebagai pengantar disebabkan percampuran kakitangan yang kadangkala dari luar negara. Maka, kebolehan saya berbahasa Inggeris sejak kecil menjadi pertaruhan. Saya, bersama dengan Eliza Hafiz, isteri Yazid menjadi ayam tambatan berbahasa Inggeris bagi Whyfit.
Masih teringat, antara program terawal yang saya uruskan, adalah di Melaka, untuk syarikat penapisan negara di sana. Yazid berkata, "Topik Pengurusan Stres ni, Kak Eli buat separuh, engkau cuba buat separuh. Ok?"
Terkejut juga saya, sebab semasa perancangan dan perjalanan ke Melaka, tidak pernah disebut pun peranan saya sebegitu. Tapi, saya berlapang dada.
Terkenang tahun sebelumnya, ketika guru Azlan dan saya dijemput oleh Shell Malaysia untuk mengisi program Health, Safety, Security and Environment mereka.
Guru Azlan sebelum itu tidak pernah pun dijemput pihak korporat untuk berceramah. Paling kuat pun adalah jabatan kerajaan, ahli sukan atau orang perseorangan sahaja. Kali ini, yang hadir adalah golongan profesional dan berpendidikan tinggi.
Sambil kami duduk di ruang tamu di Shell House, Bukit Damansara, beliau ketika itu nampak tenang saja, tapi gemuruhnya, hanya Allah tahu. "Abang Lan pun tak tahu apa nak cerita. Abang Lan serah pada Allah saja. Tahu-tahu, ada saja benda nak cerita," katanya kemudian. Inilah ayat yang sering diungkapkan kepada murid-muridnya.
Tapi, sementara saya duduk di tepi sebagai pengerusi majlis dan pembantu amnya, saya cukup kagum, bagaimana ceritanya boleh menarik minat orang. Ketika itu, saya masih beranggap, susahnya hendak suapkan orang Melayu dengan silat dan senaman Melayu. Tapi guru Azlan lain. Beliau langsung tidak sangsi.
Pernah beliau kata pada saya berkenaan mengambil saya bekerja dengannya: "Abang Lan bukan percaya pada Nadzrin. Abang Lan bukan percaya pada orang. Tapi abang Lan percaya pada diri sendiri. And I trust that I made a good choice."
Itu kuncinya. Serahkan pada Allah dan percaya pada diri sendiri. Sungguh mudah dan sungguh susah.
"Okay, Nadzrin," sergah Yazid. "Kak Eli dah nak selesai tu".
Tiba-tiba gemuruh itu melonjak dalam diri. Ya Allah, apa yang hendak dicerita? Takkan hendak main tembak-tembak sahaja? Sudah tentu mereka tahu saya membohong. Melangkah dari belakang dewan ceramah itu untuk menghadapi 30 orang korporat yang sudah dimaklumkan dan dihiburkan seorang profesional kecergasan; apa lagi yang boleh saya sumbangkan?
Bermacam-macam ide muncul, bersesak hendak dijadikan bahan. Pelik ibn Hairan al-Ajaib, sesampai saya ke hadapan, kesemua ide tadi hilang dengan tidak semena-semenanya. Mereka semua memandang kepada saya, menunggu apa yang hendak keluar daripada mulut budak berhingus ini.
Dalam sekelip, teringat Nafas Melayu. Saya tarik nafas, kecutkan perut dan menyerahkan takdirku kepada Allah. Apa hendak jadi, saya terima seadanya. Saya percaya, diri ada hal hendak diluah. Baiklah, saya izinkan. Berkatalah apa yang anda hajatkan.
Tanpa saya sedar, ayat pertama yang keluar daripada mulut saya adalah, "Saya pernah menjadi wartawan, untuk majalah SENI BELADIRI..."
Jika mereka tertanya apa kaitan kalam awal itu dengan topik pengurusan stres, tidak lama selepas itu jelaslah kepada mereka. Saya bercakap selama sejam mengenai pengalaman hidup dalam tekanan, sejak lahir dengan masalah asma, melalui pelbagai pergolakan keluarga, mengejar deadline majalah, mengharungi badai cinta, hampir kehilangan adinda tersayang, masalah kewangan yang tidak selesai-selesai dan macam-macam lagi.
Namun, itu tidak cukup mengagumkan, sehingga saya mendedahkan bagaimana saya menguruskan reaksi saya kepada tekanan yang mendatang itu, iaitu dengan kaedah nafas yang saya pelajari menerusi silat.
Di situlah kali pertama saya mengajarkan Nafas Melayu secara khusus kepada orang yang, sebelum ini, tidak pernah mengetahui pun khazanah kecergasan yang ada pada budaya Melayu. Saya tambahkan senaman Seri Muka sebagai pelengkap pengurusan stres dan jelas terpancar kepuasan pada wajah mereka. Tanpa sangka, tiba-tiba mereka memberi tepukan seusai ceramah saya.
Itulah permulaan saya melangkah ke alam latihan korporat. Hampir setahun lamanya, boleh dikatakan setiap minggu, kami akan menjalankan program kesihatan dan kecergasan untuk kakitangan korporat di semenanjung dan sekali di Bintulu.
Disebabkan latihan korporat bersifat padat dan berkesan, saya juga terpaksa memahirkan penyampaian yang ringkas tapi berguna. Saya kagum pada kebolehan guru Azlan menyimpulkan ilmu mendalam menjadi petua yang padu. Sedikit sebanyak, itu mengajar saya untuk menghargai dan memahami konsep petua.
Dalam mengajar, saya belajar mengenai anatomi, sistem kardiovaskular, penyakit dan lain-lain daripada para penceramah Whyfit.
Timbul minat saya untuk mengkaji ST dari sudut sains, walaupun pengetahuan saya dalam bidang itu cukup dangkal. Tapi, saya gagahkan juga. Antara topik-topik yang menjadi permintaan khusus adalah Pengurusan Stres dan Senaman Tua. Disebabkan saya yang menjadi penceramah kedua-dua topik, seringkali bergabung juga dalam dalam satu ceramah.
Hampir setahun selepas SB, pada pertengahan 2005, saya melangkah keluar pula dari Whyfit untuk bekerja dengan sebuah firma perhubungan awam. Namun, akibat kelemahan diri dan kekok berkerja dalam syarikat korporat bukan Bumiputra, jawatan itu tidak lama dan saya dapati diri menganggur selama 6 bulan.
Dalam 6 bulan itu, saya terpaksa mencari rezeki dengan apa sahaja kemahiran yang ada. Pada mulanya, saya membuat kerja-kerja penerjemahan, tetapi tanpa sedar, ada pula permintaan untuk diadakan kelas dan sesi Senaman Tua. Saya mampu menampung keperluan asas keluarga dengan mengajar ST sahaja beberapa jam setiap minggu.
Antara kelas-kelas terawal adalah di kawasan perumahan saya sendiri dan gim berdekatan di samping kontrak hujung minggu dengan sebuah perkumpulan tadika. Namun, perasaan gembira itu tidak lama, kerana pada penghujung tahun itu, ayah tercinta meninggal dunia.
Dalam keadaan tiada pendapatan, sewa rumah dan kereta tertunggak berbulan, tiada ayah, dan keluarga kekasih bertanyakan keseriusan diri dalam bercinta dengan anak mereka, saya ibarat hilang punca.
Saya tidak reti bertawakal. Guru-guruku pernah mengajarkan caranya, tetapi saya tidak pernah mengamalkannya. Ketika itulah, saya terpaksa dan dipaksa belajar menyerahkan segala apa yang ada, kepada Yang Maha Esa. Kursus 6 bulan yang paling perit dalam hidupku.
Hasilnya, pada 23 Januari 2006, saya diterima berkerja di sebuah syarikat latihan korporat sebagai jurulatih dokumentasi. Kata majikan saya: "Since you have a background in writing and corporate training, you're a good fit for the task."
MasyaAllah. Jahil benar perancangan manusia, kerana susunan Allah lebih molek. Langkahan di SB dan Whyfit sebenarnya menyediakan diri untuk rezeki yang lebih besar. Dan disebabkan jawatan baru itu jugalah, beberapa tahun kemudian, saya dilamar sebuah syarikat perunding terbesar di dunia (hampir 181,000 kakitangan) untuk bertugas di pusat latihan serantau mereka di Putrajaya.
Kini, Alhamdulillah, kehidupan, kewangan dan keluarga semakin stabil. Walaupun masih ada stres di sini-sana, tetapi ibu, isteri, anak-anak dan kucing mampu mengubati dengan mudah.
Sudah tiba waktunya saya membayar balik jasa orang-orang yang membantu saya ke sini. Saya tiada sumber melainkan kemahiran yang ada.
Maka tulisan-tulisan yang anda baca inilah saja usaha yang mampu saya sumbangkan. Langkah pertama adalah mempromosi ST sedaya yang mungkin di internet, untuk memperbanyakkan bahan bacaan dan visibility kepada mereka yang mencari dan ingin memahami ST.
Jika ada yang sudi mengikuti saya dalam perjalanan ini, saya persilakan. Pengalaman saya, jika ada yang hendakkan nasihat, ambil kira nafas sendiri dulu. Jangan sampai, apabila terpaksa berlari, semput jadinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan