Artikel di bawah ini ditulisi sahabat internet Ruslie Sophian mengenai pengalaman beliau mengamalkan senaman warisan Melayu. Sila lawati blognya di http://www.rusliesophian.com/ untuk mengenali dirinya dengan lebih rapat.
Pagi hari minggu biasanya masa yang terbaik kita tarik selimut. Selagi matahari tak tegap, kita tetap malas nak bangkit dari tidur. Tambah pulak bilik tidur berhawa dingin. Malam tadi ada yang pergi clubbing hingga dinihari baru tiba rumah. Hinggakan solat suboh pun boleh terabai. Itulah kebiasaan orang kita.
Tapi berlainan pula bagi sekumpulan warga tua kaum Cina ini. Daripada matahari belum naik lagi mereka sudah berkumpul di padang sekolah sebelah apartment yang aku diami. Dengan iringan muzik tradisional, mereka memulakan latihan senaman badan. Tapi aku kurang pasti jenis latihan senaman yang amalkan itu.
Daripada tinjauan rambang, terdapat beberapa jenis latihan senaman badan kuno kaum Cina ini. Salah satu yang paling popular ialah Tai Chi. Tapi dengar katanya sekarang ramai yang mengamalkan latihan senaman Qi Gong. Selain dari itu, ada juga Chi Kung, Chi Gung dan yang terbaru katanya Tai –Chi Chiuan.
Aku kurang pasti apa bezanya antara semua itu. Tetapi yang pastinya latihan senaman itu ialah untuk kesihatan badan. Di samping menguatkan badan, minda dan semangat kita yang pastinya ia memberi perjalanan darah yang baik dan mengekalkan kesihatan kita.
Itu sebab kalau kita tengok kaum Cina baik lelaki mahupun perempuan yang sudah berusia melebihi 70 tahun masih kuat berjalan dan berbasikal ke sana ke mari. Pernah aku naik teksi yang pemandunya sudah berusia 75 tahun.
Pada awalnya aku tertanya-tanya juga bagaimana kaum Cina yang sudah berusia masih sihat dan jarang kita dengar mereka dihinggapi penyakit seperti kencing manis, darah tinggi mahupun lemah jantung. Sedangkan orang kita usia belumpun mencapai 50 tahun ramai yang dihinggapi penyakit kronik.
Dalam kajian rambang aku yang tidak dibayar oleh sesiapa, maka sahlah kaum Cina ini dapat kekalkan kesihatan badan kerana latihan senaman yang mereka jalani.
Latihan senaman Qi Gong diasaskan daripada penggerakan haiwan dan alam. Justeru itu ia mampu memberikan kesihatan dalaman kepada badan kita. Latihan senaman yang diamalkan secara penafasan ini mampu mengurangkan stress dan meningkatkan tenaga dalaman kita. Apa yang pasti badan kita sihat dan tidak mudah dihinggapi penyakit.
Pergerakan lemah lembut Tai Chi pula lebih tertumpu ke bahagian leher dan belakang kita yang akan menguatkan pinggang dan jantung kita. Latihan ini sebenarnya boleh dilakukan di mana-mana saja. Baik di dalam rumah mahupun di pejabat. Tetapi warga tua Cina lebih gemar melakukan secara berkumpulan di padang.
Dalam hal ini sebenarnya orang tua-tua kita ada meninggalakan petua latihan senanam badan iaitu ‘Senanam Rimau’. Senanam ini adalah abdal dilakukan selepas solat suboh. Pergerakan badan dan penafasan ini mampu menguatkan buah pinggang, jantung dan meningkatkan peraliran darah. Secara tidak langsung ia menguatkan tenaga dalaman kita.
Cuma dalam hal latihan senaman ini bagi orang-orang tua kita amat kurang yang mengamalkannya. Maka tidak hairanlah ramai orang kita yang dihinggapi penyakit kronik. Kadang-kadang terasa sedih apabila mendapat tahu Datuk itu, Tan Sri ini dan Orang Kaya anu tu terlantar di IJN akibat jantung lemah atau tidak berfungsi.
Pak Badrul tu pulak setiap minggu terpaksa berulang-alik ke hospital untuk buat dialysis. Sementara Mak Bedah itu pula dengar katanya nak kena potong kaki akibat kencing manis. Kos rawatan ini pula bukan kecik anak. Kalau calang-calang orang memang tak mampu tanggung. Maka jalan terakhir minta bantuan untuk membiayai kos rawatan itu.
Bagi diri aku, aku bersyukur alhamdulillah kerana masih diberi kesihatan yang baik. Dalam pemeriksaan doktor juga aku tidak ada tanda-tanda penyakit kronik. Di usia ini aku masih mampu menunggang superbike jelajah Malaysia, pandu 4WD berhari-hari di hutan, masih boleh main golf 36 lubang satu hari.
Setiap kali ke kebun pula daripada pagi hingga ke petang masih mampu mesin lalang, pokok resam dan pokok senduduk yang cepat naik. Semuanya berpunca daripada latihan senaman sejak daripada usia muda hingga sekarang. Setiap awal pagi latihan senaman harimau ialah satu kemestian aku amalkan. Di samping jauh daripada penyakit, aku mampu kekalkan tenaga dalaman: tenaga batin. Itu penting bagi semua lelaki.
Dipetik dari http://www.rusliesophian.com/2010/senaman-warisan.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan