30 Mei 2011

Guru Silat diiktiraf dengan ijazah kedoktoran

Datuk Sri Wan Abdul Wahid menyampaikan anugerah Hall of Fame kepada Eddie M. Nalapraya, mantan presiden PERSILAT
KUALA LUMPUR, 29 MEI 2011 – Sebuah gabungan guru-guru seni beladiri Malaysia hari ini mencatat sejarah dengan menganjurkan Konvensyen & Konvokesyen Seni Beladiri yang pertama di sini, di mana ilmu dan usaha mahaguru-mahaguru seni beladiri selama ini diiktiraf dengan segulung ijazah kedoktoran.

Majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Dewan Toh Puan Norashikin, Kompleks Darul Puteri, Cheras, itu dianjurkan Persatuan Guru-Guru Seni Beladiri Malaysia (MAGMA) dan Akademi Seni Beladiri MAGMA, Universiti Terbuka Asia Pasifik dan dihadiri pengamal silat dan seni beladiri lain bagi meraikan pengorbanan guru-guru mereka mengembangkan ilmu kepada masyarakat.

Majlis itu dirasmikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan. Beliau memuji usaha MAGMA dalam memartabatkan seni beladiri ke tahap yang lebih akademik.

“Konvokesyen hari ini melambangkan bahawa ilmu seni beladiri, terutamanya silat kini diiktiraf dan akan terus terpelihara. Saya berdoa agar ahli-ahli MAGMA terus bersatu untuk memelihara dan mengembangkan ilmu serta disiplin perguruan dengan sebaik-baiknya dengan menjadikan majlis sebegini sebagai acara tahunan. Mudah-mudahan nama Malaysia akan terpahat dan diiktiraf sebagai destinasi terbaik pengamal seni beladiri dunia,” katanya dalam ucapan perasmiannya.

Seramai 20 graduan kedoktoran seni beladiri dan 4 graduan kedoktoran perubatan komplementari naik ke pentas bagi menerima gulungan ijazah mereka disaksikan anak murid dan ahli perguruan mereka. Di samping itu, juga terdapat 14 graduan ijazah sarjana, 6 graduan sarjana muda dan 9 graduan diploma, kesemuanya dalam bidang seni beladiri.

Antara graduan kedoktoran termasuklah, mahaguru Raja Aziz Raja Ali, pengasas Silat Kegayungan Acheh Helang Putih, grandmaster Tan Ghee Lip, pengasas Free-Style Martial Arts Self-Defence, mahaguru Dahlan Karim, pengasas Silat Setiabakti, sensei Ramlan Ahmed daripada Aikido Shudokan, sifu Alex Loh Oon Teik daripada Goh Chor Kung Fu, mahaguru Mohammed Hashim Mohammed Salleh, pengasas Silat Lian Padukan, dan master Shuhaizy Saad, pengasas Stealth Taekwondo.

Bagi melayakkan diri untuk program pengajian MAGMA itu, calon perlu melibatkan diri dalam perguruan seni beladiri bagi tempoh tertentu dan mengikuti kursus-kursus anjuran MAGMA di samping penulisan dan pembentangan tesis kajian seni beladiri. Hanya guru tertinggi dan terkanan dalam perguruan seni beladiri layak mengambil ijazah kedoktoran.

Antara acara menarik sepanjang majlis itu termasuklah pembentangan tesis graduan kedoktoran dalam bentuk demonstrasi praktikal dan penjelasan mengenai perguruan mereka.

Di samping itu, hadirin turut dikejutkan dengan penyampaian sijil penghargaan tertinggi kepada bekas Presiden Persekutuan Silat Antarabangsa (PERSILAT), Eddie M. Nalapraya atas usaha beliau mempromosi silat ke seluruh dunia.

Menurut Presiden MAGMA yang juga seorang graduan kedoktoran, Datuk Haji Baharom bin Haji Kamari, “MAGMA dilahirkan bagi memartabatkan guru-guru seni beladiri ke tahap yang tinggi. Pendekatan inilah yang tepat dan merupakan landasan yang kukuh yang akan melonjakkan MAGMA berjaya merealisasikan pemartabatan guru-guru seni beladiri,” kata beliau. Beliau turut melancarkan Akademi Seni Beladiri MAGMA, Universiti Terbuka Asia Pasifik yang akan dijadikan penggerak utama melahirkan graduan baru dalam bidang seni beladiri tidak lama lagi.

Dr Zam@Ab Razak Zamri, Ketua Pegawai Operasi Akademi Seni Beladiri MAGMA, Universiti Terbuka Asia Pasifik pula mengingatkan para graduan bahawa sebagai pengamal seni beladiri, mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam pendidikan generasi rakyat Malaysia akan datang.

“Bekerjalah dengan bersungguh-sungguh dengan sentiasa mengamalkan sifat jujur, amanah dan ikhlas dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada anda semua,” ucap beliau.

Tesis hasil kajian graduan akan diarkib bagi memulakan dan mengembangkan dokumentasi tempatan dalam bidang seni beladiri. Graduan lapisan pertama ini akan menjelajah ke seluruh Malaysia dalam tahun akan datang bagi mengadakan kursus dan melatih calon graduan barisan kedua di bawah naungan akademi MAGMA.

Mengenai MAGMA
MAGMA adalah singkatan Persatuan Guru-Guru Seni Beladiri Malaysia (Malaysian Martial Arts Grand Masters’ Association), badan gabungan tenaga pengajar seni beladiri seluruh Malaysia. Kini, MAGMA mempunyai keahlian merangkumi 45 perguruan yang berjumlah seramai 500,000 orang. Dengan kerjasama Akademi Seni Beladiri MAGMA, Universiti Terbuka Asia Pasifik, ia melancarkan program Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran dalam bidang Seni Beladiri, merangkumi pengajian pertahanan diri, kebudayaan, kesenian, sukan, jatidiri, perubatan dan lain-lain lagi.

Original Article by Mohd Nadzrin Wahab

26 Mei 2011

Testimonial Jamaliah Abdullah: Senaman Tua & Leukimia

Senaman Tua Leukaemia Testimonial

08 Mei 2011

Langkah Senamku 7: Dari Selangor Ke Michigan a.k.a Senaman Jarak Jauh

Pada tahun 2002, seorang guru Kali bernama guro Omar Hakim dari Amerika Syarikat yang bertugas di Kuala Lumpur menghubungi guru Azlan Ghanie dengan niat berkenalan di samping mempelajari silat. Menurutnya, beliau berminat mempelajari sejenis silat di Malaysia.

Walaupun permohonan rasminya menuntut silat itu ditolak atas alasan perguruan itu sendiri, guro Omar terus memburu silat untuk dipelajari, sehingga berjaya mencapai tahap jurulatih dalam Silat Kuntau Tekpi dan beberapa tahun kemudian, Silat Kalimah.

Beliau turut menuntut Silat Melayu Keris Lok 9, tetapi tidak lama, dan mungkin tidak begitu menepati seleranya. Namun, yang menarik minatnya adalah Senaman Tua. Katanya, senaman ini begitu advanced, hinggakan kaedah nafas dan konsep senaman yang ada padanya jarang ditemui di dunia Barat, melainkan daripada beberapa tokoh sahaja.

Apabila beliau pulang ke Amerika, beliau mengasaskan Silat Kuntau Tekpi USA dan membawa sekali ST. Walaupun beliau tidak bertauliah jurulatih (itu sebelum zaman lesen bertauliah), tetapi beliau gigih menghidupkannya dalam pengajaran silat dan kalinya. Nampak benar ada kesan kepada murid-muridnya.

Pada tahun 2005, ketika saya mengalami pengangguran kerja selama enam bulan, saya mula menghabiskan masa di kafe internet bagi mencari kerja dan aktif di forum beladiri. Dalam menukil-nukil di papan kekunci, saya berkenalan dengan seorang pesilat Kuntau Tekpi USA bernama Phil Ledgerwood dan melaluinya, gurunya, cikgu muda Jeff Davidson. Asalnya, kami bertukar-tukar emel, tetapi akhirnya lebih rancak berbincang di Yahoo Messenger.

Jeff, juga dikenali sebagai Jaafar ibn Daud adalah guru muda Silat Kuntau Tekpi dan Kali Pekiti Tirsia. Beliau juga sering dijemput pasukan polis Detroit untuk mengisi silibus pertahanan jalanan pihak berkuasa yang dikenali sebagai Defensive Tactics. Beliau sudah menuntut pelbagai jenis seni beladiri Asia dan Afrika dan kini mengajar kelas beladiri di rumahnya.

Jeff mengajar taktik pertahanan diri menggunakan silat dan pistol
Beliau mula bertanya-tanya mengenai silat di Malaysia khususnya mengenai Kuntau Tekpi kerana kami seperguruan. Tetapi, lama-kelamaan, persahabatan kami berubah menjadi persaudaraan yang cukup erat, dan walaupun belum pernah bertemu berhadapan, tetapi terasa sungguh perhubungan keIslaman, persilatan dan kemanusiaan yang utuh.

Namun, setelah beberapa lama berbincangan mengenai, Jeff mula bertanya mengenai Senaman Tua, kerana dirasakan tidak mencukupi apa yang diterima daripada guro Omar. Guru Omar sendiri 'mengisi tempat kosong' dengan pengalaman lamanya dalam dunia seni beladiri. Hasilnya, Senaman Tua yang diajar di USA tidak sama dengan ST di Malaysia.

Sebagai pembuka bicara, saya bertanyakan kepada Jeff, apakah lingkup ST yang diterimanya. Cukup terkejut. Nafas yang diajar adalah salah (atau berlainan dari yang diajar guru Azlan). Gerakan senaman pula banyak yang singkat, tidak lengkap atau salah posisinya. Disebabkan kasihnya saya kepada saudara saya itu, saya mula membetulkan sedikit demi sedikit ilmu yang diterimanya, melalui chat! Mungkin juga perlakuan kami itu adalah kejadian belajar Senaman Tua jarak jauh terawal di dunia secara elektronik!

Apabila saya menurunkan Nafas Melayu yang tepat, di sebelah dunia sana, Jeff menulis bahawa terus beliau merasakan perbezaannya daripada kaedah nafas yang diterima, dan apabila saya menetap dan menepat gerakan senamannya, baru terasa impak yang sepatutnya. Beliau cukup-cukup berterima kasih, namun saya sentiasa mengingatkan bahawa ilmu itu bukan milik saya, tetapi adalah usaha kajian dan susunan guru Azlan Ghanie. Beliau akur.

Saya juga mengingatkan bahawa Senaman Tua belum lagi rasmi dibawa ke USA, kerana guru Omar sendiri tidak terlesen di bawah sistem baru kejurulatihan. Segala apa ST yang diajar di sana oleh Jeff hanya diiktiraf saya sendiri, bukan guru Azlan dan bukan oleh badan kawalan ST di Malaysia. Beliau tetap akur dengan maksud, bila-bila sahaja beliau mungkin menerima surat rasmi daripada guru Azlan untuk berhenti mengajar ST. Tetapi, kata saya, selagi itu belum berlaku, amalkanlah sendiri dan ajarkanlah kepada keluarga dan muridnya.

Hasilnya cukup menakjubkan. Kegigihan Jeff, keterbukaannya belajar (walaupun umurnya jauh melangkaui saya sendiri) dan keikhlasannya menyampaikan ilmu mendapat sambutan hangat daripada murid-muridnya sendiri. Buktinya seringkali dipaparkan di blog beliau Balisong Journal. Saya sempat kutip beberapa emel yang dikirim kepadanya oleh muridnya:

Testimonial Senaman Tua dari USA
Senaman Tua saves another student
Senaman Tua - Another satisfied client!

Malah, sebelum murid-muridnya, Jeff sendiri menulis dalam blognya bahawa:

"In response to numerous requests from my students for more information on Senaman Tua, I offer the following brief explanation... As anyone who has been put into at least one full-body lock from Cekak or Silat Kuntau Tekpi can attest, it is murder on the joints. I liken Senaman Tua to 'yoga' for the joints. We have been doing it for 7 months, and I have seen remarkable results in my students strength and flexibility.

"By way of a personal testimony, in the summer of 2004 I tore the ACL in my right knee during a dumog match. After 3 months of physical therapy I decided not to have surgery, but the knee was obviously not fully functional. I learned Senaman Tua from Omar Hakim in April of 2005, and after a rigorous program of x2 per week for an hour my knee was stronger than it was before the tear - by July!"


Dalam buku Senaman Melayu Tua, terdapat berpuluh testimonial daripada orang Malaysia mengenai keberkesanan ST dan saya sendiri tidak sempat memasukkan testimonial-testimonial daripada Jeff dan murid-muridnya dalam buku itu (juga kerana status ST yang tidak rasmi di sana), tetapi hakikatnya, ST sudah sampai ke luar negara, sudah melepasi ujian akal dan praktikal orang Amerika (manusia yang paling pengkritik dalam bab-bab seni beladiri tradisional) dan menerima pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia sebagai rawatan alternatif.

Sehingga kini, Jeff masih lagi berlatih dan mengajar ST, dan masih bersahabat rapat dengan saya. Satu hari nanti, kami pasti akan bersua muka, dan tibalah pula masa saya menuntut daripadanya.
Original Article by Mohd Nadzrin Wahab